Khamis, Ogos 09, 2012
Lekehnya pecacai UMNO, fitnah buta tuli, bukti macam longkang
Oleh Adil Mat Selamat
Kerana menganggap minda orang Melayu masih di takok lama seperti benak mereka, para pecacai UMNO dan pelampau kaum di alam maya internet semakin ghairah melempar batu sembunyi tangan terhadap DAP dan Pakatan Rakyat.
Seperti memijak agama dan membuang adab sopan Melayu, golongan pelampau ini sudah tidak kenal etika kewartawanan, apatah lagi politik yang bermoral, dalam usaha jijik mereka untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum lain.
Bukti-buktinya jelas dengan tulisan yang amat berbahaya dan bersifat menghasut yang mereka paparkan di alam internet. Antaranya:.
1. medan-info-kita.blogspot.com
Tuduhan ini memetik ucapan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin, (bekas ahli PKR yang kini bersama dengan pertubuhan perkauman Perkasa) yang memfitnah Lim Kit Siang melalui putar-belit kenyataan daripada laporan Kertas Putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) berhubung rusuhan 13 Mei 1969..
2. parpukari.blogspot.com
Juga memetik dari sumber yang sama iaitu MAGERAN dengan diputar-belit juga serta ditambah sedikit tentang sejarah penubuhan DAP yang turut dipalsukan hakikat sebenar..
3. Peraktoday.com
Juga memetik dari sumber MAGERAN dengan tokok-tambah yang jelas bohong.
4. kerajaanrakyat.blogspot.com
Laman ini menggunakan rencana, olahannya jelas sebagai satu karangan fiksyen dengan copy and paste gambar serta kenyataan-kenyataan umum dari pihak yang tidak diketahui siapa, di mana, bila dan bukti kewujudan kenyataan ini.
Tukang fitnah berkokok bohong, yang tiada diadakan, yang ada ditiadakan
Kebebasan bersuara amat kita raikan, ia mesti bersifat terbuka dan adil secara saksama. Namun bagi mereka yang bekerja semata-mata kerana kebencian dan diupah, maka kebebasan itu tiada ada ertinya lagi. Apatah lagi mereka-mereka ini tiada asas politik moral atau dan tiada kefahaman kepada demokrasi sejagat, telah menggunakan kebebasan ini untuk memfitnah dan menipu.
Jika kita lihat dakwaan yang kononnya disertakan bukti dari MAGERAN, rupa-rupanya bukti itu juga adalah satu dakwaan. Maksudnya sebagai contoh, “saya mendakwa saya ada bukti”. Ini cukup melucukan kerana dakwaan ada bukti itu hanya dakwaan perkataan sedangkan dokumen asli laporan MAGERAN itu sendiri tidak dipaparkan dan diterbitkan kepada umum.
Maknanya para pecacai ini menganggap tidak ada orang Melayu khususnya yang akan baca laporan penuh Kertas Putih dan akan percaya kepada apa sahaja fitnah yang mereka cipta. Begitu rendah sekali pandangan mereka kepada kaum sendiri.
Jika ikut dakwaan mereka, tragedi 13 Mei ini adalah satu kes besar yang melibatkan keselamatan negara tetapi peliknya bukti dokumen pun tidak disertakan kecuali dipetik sana-sini untuk menghalalkan fitnah mereka.
Kita ingin menasihatkan puak-puak ini supaya bersikap berani kerana benar seperti pakar ekonomi PKR, Rafizi Ramli, yang mendedahkan skandal lembu dan kondo NFC yang bukan sekadar mendakwa berlaku penyelewangan tetapi juga menyediakan bukti-bukti lengkap.
Inilah contoh politik yang betul dan perjuangan yang ikhlas. Tapi malang di Malaysia, pihak yang mendedahkan kemungkaran dan mengemukakan bukti pula yang kena dakwa.
Memang sifat tukang fitnah sukar diubah. Mungkin itu sudah darah daging mereka. Namun, bagi pembaca dan penonton, terutamanya orang Melayu, di sinilah pentingnya amalan Islam dan budaya Melayu, yakni berhati-hati dan sentiasa was-was dengan berita dan laporan yang disangsikan.
Sepatutnya perlu diselidik dahulu apabila menerima tulisan dan catatan para pecacai UMNO, khususnya dengan memastikan bahawa dalam apa-apa kenyataan (dan fitnah) mereka mestilah:
* Ada bukti, dokumen, surat, laporan penuh yang sahih dan tidak dipertikaikan;
* Siapa dan apa serta kelayakan orang yang membuat tuduhan;
* Siapa dan apa serta bagaimana orang yang kena tuduh;
* Tempat, tarikh, waktu dan bila tuduhan dibuat serta dikatakan berlaku; dan
* Apa jenis rekod dan dokumentasi yang mewajarkan tuduhan dibuat.
Jika tidak ada semua itu, ia hanya bererti pecacai UMNO tersebut cuma mampu berkokok bohong. Seperti perbuatan rejim Nazi pada 1930-an dan 40-an dahulu, mereka telah mencipta pelbagai fitnah untuk menyemarakkan rasa benci kaum kulit putih Jerman kepada kaum-kaum lain dianggap bertaraf rendah atau sesetengahnya dianggap sama taraf dengan binatang seperti kaum Yahudi, kaum kulit hitam dan kaum Asia.
Dalam propaganda jijik mereka, yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan, yang tiada diadakan, yang ada ditiadakan. Ini jelas dengan sikap pecacai UMNO yang giat memfitnah DAP dan Lim Kit Siang berhubung tragedi 13 Mei yang sengaja berniat untuk membakar hati orang Melayu supaya membenci kaum lain di Malaysia.
Dakwa sesuka hati
Semua dakwaan ini bersifat sentimen. Mereka menggunakan sejarah penubuhan DAP untuk mengabsahkan bahawa DAP ejen Cina, ejen komunis walaupun umum mengetahui ia adalah dakwaan palsu.
Sedangkan mereka ini tidak sedar bahawa UMNO sendiri sewaktu pra-Merdeka telah bekerjasama dengan penjajah British untuk menghapuskan perjuangan nasionalis Melayu Islam seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Hizbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Malah UMNO juga bersekongkol dengan British untuk melumpuhkan gerakan petani dan pekerja pelbagai kaum di Tanah Melayu sbeelum Merdeka dahulu.
Para pecacai siber pro-UMNO ini, sama ada yang diupah dengan mengunakan wang rakyat hasil kutipan kerajaan atau mereka yang behati busuk benci kaum lain, tidak pula dibekalkan dengan sebarang bukti sah untuk menegakkan benang basah mereka.
Akhirnya setakat yang mereka mampu hanyalah mencipta fitnah serta memetik kenyataan Ahli-Ahli Parlimen yang diketahui rasis dan assibiyah sikap mereka yang turut tidak menyediakan bukti kecuali memutarbelitkan fakta-fakta yang ada.
Jadilah Melayu yang bermaruah dan berani
Kita ingin sekali melihat bukti dan dokumen yang sah dari agensi kerajaan dan dengan bukti itu mungkin boleh digunakan untuk menegakkan kebenaran yang laung-laungkan oleh puak-puak ini. Kita mahu fitnah berpuluh-puluh tahun ini diadili di muka pengadilan, biar semua rakyat tahu siapa sebenarnya dalang di sebalik peristiwa berdarah 13 Mei.
Justeru, kita nasihatkan para pecacai siber ini supaya memaparkan sepenuhnya semua laporan rasmi dan sah berhubung tragedi 13 Mei 1969 tanpa disunting atau dipuarbelitkan. Biarlah pembaca terutamanya orang Melayu menjadi saksi kepada apa yang benar dan apa yang palsu.
Biarlah semua orang tahu, melalui dokumen dan laporan yang sah, bahawa rusuhan 13 Mei 1969 melibatkan anasir-anasir komunis, parti-parti pembangkang dan pemerintah termasuk Gerakan dan UMNO sendiri, serta tragedi malang itu mengorbankan banyak nyawa dari semua kaum, malah laporan MAGERAN mengesahkan bahawa kaum Cina yang paling ramai menjadi mangsa pembunuhan.
Sehingga hari ini kerajaan Malaysia masih belum dapat mencari punca kejadian serta siapa yang bertanggungjawab. Janganlah para pecacai cuba menimbulkan ketegangan kaum dengan cerita rekaan mereka yang boleh menghancurkan keharmonian dan semangat setiakawan yang ada pada hari ini.
Bagi mereka yang berotak, cubalah tanya diri sendiri, jika benar Lim Kit Siang adalah dalang 13 Mei, kenapa kerajaan tidak pernah mendakwa beliau di mahkamah? Malah mungkin ramai yang tidak sedar bahawa apabila Kit Siang ditahan di bawah ISA pada 1969, beliau tidak pernah disoal siasat tentang 13 Mei. Rekod dan dokumen penahanan beliau barangkali masih ada dalam simpanan pihak berkuasa Malaysia.
Bagi pihak yang menfitnah ini, kita beri satu jalan yang mudah untuk mereka buktikan dakwaan mereka. Jika mereka bermaruah dan berani, desaklah parti pujaan mereka UMNO untuk meminta kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja yang bebas dan berkecuali untuk menyiasat secara menyeluruh ke atas semua pihak dan agensi/pihak berkuasa demi merungkai misteri 43 tahun ini.
Kita juga ingin nasihatkan elit-elit UMNO yang ada, gunakanlah wartawan yang lebih berwibawa berbanding pecacai siber longkang yang tidak beretika dan tidak tahu apa yang sedang mereka perbuat ini.
Atau sekurang-kurangnya mungkin masih ada beberapa blogger pro-UMNO yang jujur dan ikhlas memperjuangkan ideologi parti mereka. Mungkin atas kejujuran mereka, UMNO tak perlu keluarkan satu sen pun untuk khidmat sukarela mereka, kecuali membekalkan dokumen dan laporan rasmi sebagai hujah, dan bukannya fitnah, maki hamun dan jiwa longkang yang ada pada mereka yang lain itu. – Roketkini.com
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...