Isnin, Ogos 13, 2012
Usah 'jadi lembu' pengakhiran Ramadan ini
Oleh Lanh
PADA hari-hari menjelang Raya ini terkenang saya akan 'seni kerja tangan unik' orang tua-tua Melayu-Melaka yang sudah pupus. Jika pembaca anak Melaka yang membesar pada tahun-tahun 70-an atau lebih awal, mungkin perasaan kerja tangan mudah ini ketika berkunjung ke rumah-rumah orang veteran.
Ketika era 1960-an, saya cukup teruja dengan susunan botol-botol berisi air berwarna yang dipamerkan di rak-rak yang orang Melaka panggil para. Ada barisan air berwarna merah, hijau, biru dan sebagainya. Apabila botol-botol air warna yang sama bentuk dan saiznya disusun sedemikian rupa (mungkin 20 atau 30 botol), ia dengan serta-merta menjadi tarikan kanak-kanak seperti saya ketika itu. Ada kalanya ketika cahaya matahari menyimbah ke dalam rumah dan mengenai botol-botol berwarna itu, ia menghasilkan cahaya berwarna yang sungguh cantik (bagi sayalah ketika itu).
"Nek, nak air sirap tu!" pinta saya, tak tahan melihat 'godaan' air berkilauan itu. Tetapi sungguh memeranjatkan apabila tuan rumah yang saya panggil 'nenek' itu dengan lembut memberitahu saya bahawa air itu bukan untuk diminum. Ia hanya sebagai perhiasan saja! Sungguh menghairankan saya, 'air secantik' itu hanya menjadi hiasan, kalaulah boleh masuk ke dalam tekak saya, tentu sedappp!
Lama kemudian barulah saya tahu, 'air cantik' itu dihasilkan daripada air yang direndam dengan kertas warna. Air itu kemudian ditapis; sisa kertas warna dibuang manakala air dimasukkan dalam botol-botol berkenaan. Botol-botol itu kemudian disusun di para-para, biasanya para di atas sekatan ruang tamu dan dapur supaya tetamu dapatlah melihat dengan jelas keindahan botol-botol berisi air berwarna itu! Ya hasil seni ini cantik tetapi awas, airnya bukan untuk diminum!
Sekarang ini tiada satu pun rumah orang Melayu yang saya kunjungi pada hari raya ada dipamerkan air berwarna. Ia hanya berada dalam memori orang seangkatan saya atau orang lebih tua. Sempena kehadiran penghujung Ramadan ini, teringat juga saya 'kerja seni' orang lama Melayu-Melaka yang bermati-matian membuat kuih tradisional untuk sambutan hari raya. Antara kuih itu adalah dodol dan wajik.
Dodol seolah-olah hidangan kemestian pada hari raya. Hampir setiap rumah, anggota keluarganya akan terbabit membuat dodol. Kerja membuat dodol terutama mengacaunya amat berat dan lama. Berdasarkan pengalaman saya, sebaik saja selepas sahur, kuali besar sudah diletakkan di atas tungku, api mulai dinyalakan dan santan dituang dan dikacau. Kerja mengacau kelihatan mudah, tetapi awas, bahan dikacau itu semakin lama semakin pekat dan likat, maklumlah selepas dimasukkan gula melaka dan sebagainya. Kerja mengacau itu tersangat lama, mungkin hanya berakhir selepas zuhur atau asar!
Pertengahan waktu sebelum dodol masak adalah saat ditunggu kanak-kanak seperti saya (belum balighlah) kerana kami akan dipanggil beramai-ramai untuk makan dodol cair yang diseduk dan diletakkan di atas daun pisang. Ya, di kalangan keluarga kami, hanya kanak-kanak yang dibenarkan makan dodol cair itu, orang dewasa tidak sama sekali.
Namun saya dimaklumkan, di sesetengah tempat, ada orang tua pun mencuba dodol yang sedap itu apatah lagi mereka sudah berlalu penat, berhempas pulas 'mendayung' (mengacau) dodol dari subuh sampai asar. Mereka tak puasa pun. Ada yang tertinggal solat subuh, zuhur dan asar kerana leka membuat dodol.
Sama seperti 'seni' membuat 'air warna', 'seni' membuat dodol pun sudah mati. Sudah puluhan tahun, saya tidak lagi 'mengacau' dodol. Kalau teringin makan dodol 'order' saja atau pergilah ke gerai-gerai di tepi jalan. Tetapi semua itu tidak dapat menyaingi 'dodol cair' yang saya nikmati puluhan tahun lalu!
Kalau ada orang boleh tak puasa kerana dodol, hari membantai (bergotong royong menyembelih lembu, kambing) menjelang Aidilfitri juga menjadi penyebab segelintir orang tak puasa. Mereka berkata nak rasa daging baru. Namun sama seperti 'seni' membuat dodol, acara membantai juga kian pupus. Kebanyakan urusan sekarang dilakukan secara komersial.
Sekarang ini akan muncullah gerai-gerai menjual daging di tepi jalan menjelang hari berbahagia itu. Namun apa yang saya perhatikan, ada orang bagaikan 'sudah jadi lembu' dalam mengendalikan perniagaan. Siang malam dengan bisnes lembunya malah tengah hari Jumaat ketika orang sibuk ke masjid, mereka tetap tekun di gerai daging lembunya.
Demikian juga orang yang terbabit dalam bisnes lain dan para pembeli. Siang malam, berniaga dan 'bershopping' sakan untuk beraya. Tidak kira waktu sembahyang ke, malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan ke, mereka tidak peduli. Yang penting hajat mereka untuk melaram raya ini tercapai.
Kesimpulannya, ingatlah wahai diri sendiri terutamanya dan semua, janganlah kita 'jadi lembu' pada hujung Ramadan ini dengan membuat perkara atau 'seni sia-sia' sebaliknya berusaha keras untuk mendapatkan tawaran istimewa Allah SWT termasuk dalam memburu Lailatulqadar-Nya!
DD
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...