Ahad, Jun 16, 2013

HISHAMMUDDIN JANGAN TERUS MEMBISU

Hishammuddin usah terus ‘bisu’, rungkai segera skandal KLIA2 RM4b

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Menteri Pengangkutan baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkuasa ke atas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), perlu segera masuk campur untuk merungkai skandal berlarutan dan bertanggungjawab terhadap pihak yang terbabit mengaibkan negara dan membazirkan dana awam.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, Hishammuddin tidak seharusnya berdiam diri atau terus membisu mengenai skandal KLIA2 yang membabitkan RM4 bilion dan berkali-kali tertangguh tanpa tarikh siap yang mutlak.
Katanya, kontrak pembinaan lapangan terbang KLIA2 menyebut tarikh siap pada September 2011 tetapi ditangguhkan sekurang-kurangnya tujuh kali tanpa ada tarikh akhir yang mutlak.
“MAHB mendakwa penyiapan KLIA2 tertangguh kerana ada bahagian projek yang gagal disempurnakan kontraktor, mendorong MAHB mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengenakan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) ke atas pihak berkenaan.
“Tidak mengejutkan, kontraktor utama projek ini menafikan mereka adalah punca kelambatan itu, sebaliknya menyalahkan sepenuhnya MAHB sebagai pemilik projek kerana membuat pesanan yang berlainan daripada yang disebutkan dalam kontrak asal.
“Kita tidak berpeluang menyemak perincian pertikaian sehingga tuding-menuding di antara pelbagai pihak, namun persoalan yang perlu dibangkitkan ialah mengapa setelah hampir dua tahun tertangguh, hanya baru-baru ini MAHB pertama kali menyalahkan kontraktor dan kalau benar kontraktor yang bersalah, mengapa mereka tidak dikenakan LAD sejak September 2011,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, lebih menghairankan, Kementerian Pengangkutan selama ini tidak mengendalikan keadaan dengan baik sedangkan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Long See Wool, adalah Ahli Lembaga Pengarah MAHB yang menjadi Pengarah sejak 9 September 2008 dan menganggotai Jawatankuasa Pemerolehan Lembaga dan Jawatankuasa Pengurusan Lembaga dalam MAHB.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan tidak boleh menafikan pembabitannya dalam masalah itu, melainkan jika Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan sendiri mengatakan beliau tidak tahu-menahu sama sekali mengenai masalah KLIA2.
“Peningkatan kos secara drastik memaksa MAHB meningkatkan nilai bon kepada RM3.1 bilion setakat ini, manakala RM1 bilion lagi dijangka akan ditambah dalam masa terdekat, menyebabkan MAHB terpaksa menanggung hutang yang sepatutnya tidak perlu wujud.
“Bagaimanapun, pihak sebenar yang perlu menanggung kerugian adalah rakyat Malaysia yang menjadi pengguna lapangan terbang “kos rendah”, kerana mereka terpaksa membayar cukai lapangan terbang yang lebih tinggi untuk membolehkan MAHB membayar hutangnya. Perkara ini akan turut memberi kesan terhadap daya saing Malaysia sebagai hub pengangkutan kos rendah di benua Asia.
“Hishammuddin perlu mendedahkan mengapa kontrak Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad yang menerajui syarikat itu sejak 9 tahun lalu disambung setahun lagi, mulai 6 Jun lalu, yang sepatutnya berakhir 7 Jun lalu kerana jelas Bashir gagal mengurus projek terbesar MAHB sepanjang memegang jawatan dan kontraknya tidak sepatutnya diperbaharui.
“Kegagalan dan skandal KLIA2 tidak boleh dimaafkan. Rakyat Malaysia sekali lagi menjadi mangsa ketidakupayaan Barisan Nasional (BN) apabila pihak yang mengecewakan rakyat terus diperbaharui kontraknya entah untuk berapa kali,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Hishammuddin menyambut seruan CEO Air Asia, Aireen Omar supaya ditubuhkan badan bebas untuk menyiasat kelambatan menyiapkan KLIA2 sebagai lapangan terbang kos rendah baru, melainkan punca sebenar diketahui.- Roketkini.com

3 ulasan:

Sendiri mau ingat...