Khamis, Mei 17, 2018
Khamis, Mei 10, 2018
Rabu, Mei 09, 2018
Selasa, Mei 08, 2018
TERKINI: PERUTUSAN KHAS ANWAR IBRAHIM BUAT RAKYAT MALAYSIA MENJELANG PRU14
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saudara saudari yang saya muliakan,
Dari Hospital Cheras, dengan kawalan ketat pegawai penjara, saya mohon saudara saudari bersama dalam gerakan rakyat menuntut perubahan sempena PRU14.
Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan kerana berulang kali diungkit oleh pimpinan UMNO-BN dan lain-lain.
Paling mereka khuatiri adalah gandingan Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim hinggakan TV3 menyiarkan pidato lama saya menyerang Tun Mahathir. Malah mereka lahirkan rasa aneh dan bingung mengapa saya dan keluarga sanggup berpakat dan mempercayai Tun Mahathir.
Sewajarnya sebagai Muslim dan naluri insani, kita gembira dengan semangat ukhuwwah, silaturrahim dan persahabatan yang terjalin.
Saya, Azizah dan sekeluarga tidak menafikan keresahan awal, namun pertimbangan - faaslihu baina akhawaikum - (Sebab itu, perbaikilah (damaikanlah), hubungan antara kedua saudaramu – Al-Hujurat Ayat 10) dan kepentingan negara dan rakyat mengatasi semua perkiraan lain.
Tun Mahathir membuktikan dengan kegigihan berjuang; menerima keterbatasan lalu; memohon maaf dan mengorbankan masa dan tenaga untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan negara. Beliau bersabar menerima penghinaan UMNO-BN sambil menumpukan perhatian memperkukuh jentera Pakatan Harapan (PH).
Saya ingin menyeru agar rakyat memberikan dokongan untuk membolehkan beliau memperbaiki kebobrokan negara akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerajaan UMNO-BN di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Razak.
Kempen UMNO-BN tertumpu kepada usaha menakutkan rakyat terutama masyarakat Melayu kononnya akan diperalatkan DAP.
Sentimen perkauman ditiup kerana kegagalan UMNO-BN menjawab skandal 1MDB, FELDA, dan keperitan rakyat akibat lonjakan harga setelah GST diperkenalkan.
Rakyat adalah penentu; bukan wang sogokan tauke atau saudagar kaya; bukan fitnah dan propaganda media yang dikuasai UMNO-BN.
Pakatan Harapan mendambakan perubahan; kepedulian rakyat dan pengukuhan institusi negara selaras dengan semangat Perlembagaan negara.
Kami bertekad untuk bekerja menggalas tugas dengan penuh amanah dan kesedaran.
Kami yakin kedudukan Islam akan lebih mekar dengan menjamin kebebasan beragama. Yang akan dibela adalah rakyat semua kaum. Umat Melayu dan bumiputera yang dibantu adalah di kalangan rakyat kebanyakan dan bukannya keluarga dan kroni kaya.
Dalam tempoh 24 jam, masa depan negara dan nasib rakyat akan di tentukan oleh saudara saudari.
Dengan lafaz Bismillah, undilah dengan bijak dan bertanggungjawab.
Rakan-rakan yang telah bersama sejak 2013 perlu bangkit menggerakkan rakyat dalam muafakat mantap Pakatan Harapan. Bantu ibu bapa, sanak saudara dan adik adik untuk turut mengundi.
Kepada Allah SWT kita pohon petunjuk dan keberkatan.
Anwar Ibrahim
7 Mei 2018