Isnin, Februari 09, 2009

Anwar Berjasa Wujudkan Pakatan Rakyat - PKR P.Pinang

PULAU PINANG, 8 Feb (Bernama) -- Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata tanpa usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat (PR) iaitu gabungan parti pembangkang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan wujud sehingga hari ini.

Sambil membidas kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa Penasihat PKR itu tidak layak mengetuai pakatan itu, beliau berkata Anwar merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan konsep PR sehingga membawa kemenangan besar pada gabungan parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas.

"Tanpa beliau (Anwar), PR tidak akan wujud sehingga hari ini dan segala dakwaan Karpal (Singh) itu merupakan satu tuduhan liar yang dilemparkan kepada pemimpin kami," katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP yang mendakwa Anwar tidak layak memimpin PR kerana memperkenalkan amalan lompat parti yang dianggapnya tidak bermoral sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan PR di Perak.

Zahrain berkata beliau kesal dengan tindakan Karpal Singh yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Anwar, yang merupakan Ketua Pembangkang, dan tidak pandai menjaga perasaan rakan-rakan di dalam pakatan itu.

"Jika hendak diikutkan, Karpal Singh sendiri juga sudah tidak relevan lagi dalam politik arus perdana di negara ini dan sering sahaja bercanggah pendapat dengan pemimpin PR," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...