Isnin, Mei 10, 2010

Pemain Kedah mangsa santau



ALOR SETAR - Di sebalik alasan kecederaan otot serius antara penyebab utama Kapten Kedah, Victor Andrag dan empat pemain Kedah berehat panjang, kini timbul desas-desus mendakwa kesemua pemain itu menjadi mangsa santau.

Sumber pasukan itu mendakwa Andrag yang hanya beraksi satu perlawanan pada kempen liga musim ini dikatakan berasa sakit otot dan mengalami kekejangan se:waktu berlatih dan beraksi di atas padang, bagaimanapun kembali normal apabila pulang ke rumah.

Menurutnya, kecederaan ‘misteri’ yang melanda Andrag turut menjadi tanda tanya beberapa ahli fisioterapi apabila mereka gagal mencari punca sebenar penyakit yang menyebabkan tonggak pertahanan Kedah itu tidak dapat beraksi.

“Alasan beliau (Andrag) mengalami kecederaan otot hanyalah untuk menutup penyakit misteri yang dihadapinya dan beliau kini sedang giat mendapatkan rawatan tradisional bagi menyembuhkan kecederaan itu.



“Baru-baru ini saya difahamkan Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Radhi Mat Din turut berikhtiar membawa Andrag bersama seorang lagi pemain berubat secara tradisional sehingga ke Sik untuk mengubati penyakit misteri itu,” katanya, semalam.

Radhi ketika dihubungi mendedahkan beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur mistik yang mengakibatkan kecederaan panjang dialami Victor Andrag, berdasarkan pelbagai usaha perubatan moden dilaksanakan namun tidak berhasil.

Bagaimanapun, Radhi menegaskan tindakan beliau turut sama membantu Victor dan seorang lagi pemain Kedah berjumpa dengan beberapa pakar perubatan tradisional di sekitar negeri ini bukanlah untuk menafikan laporan perubatan yang dikemukakan oleh doktor, sebaliknya sebagai ikhtiar alternatif demi memastikan tonggak Hijau Kuning cepat sembuh.

“Berdasarkan laporan perubatan, sememangnya Andrag bersama empat pemain Kedah lain didapati mengalami kecederaan otot serius sehingga mengakibatkan beliau tidak dapat bermain untuk tempoh waktu panjang.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan ada unsur mistik yang menjadi punca penyakit dihidapi Andrag agak ‘unik’ dan kami kini sedang mencuba semua kaedah perubatan yang ada untuk memulihkan kecederaan itu,” katanya.

Radhi turut menafikan dakwaan pasukan itu sebelum ini ‘mengupah’ pawang untuk membantu kemenangan Kedah dan menegaskan kejayaan yang dikecapi Sang Kenari sebelum ini adalah hasil usaha keras pemain, panel kejurulatihan dan pengurusan pasukan.

Beliau juga menegaskan menurut pakar perubatan tradisional yang ditemui, terdapat gangguan halus di rumah yang diduduki Victor Andrag dan seorang lagi pemain yang dipercayai menjadi punca penyakit misteri itu berlaku.

“Kami difahamkan beberapa pakar perubatan tradisional terdapat gangguan makhluk halus di rumah didiami Victor dan seorang lagi pemain Kedah dan ianya dipercayai punca mereka menghidapi penyakit misteri itu,” katanya.

Bagaimanapun, Radhi meminta isu ini tidak diperbesar-besarkan media bagi mengelakkan pemain-pemain Hijau Kuning lain cuba mengambil kesempatan menggunakan alasan serupa sekiranya prestasi mereka tidak cemerlang.

SH

Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...