Sabtu, Mei 15, 2010
Piala Thomas: Berakhirnya Pertarungan Untuk Malaysia
Prestasi pasukan Malaysia menghampakan penyokong setianya...Gambar:DeyMachaFoto
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia ditundukkan johan bertahan China, dengan tewas 0-3 di peringkat separuh akhir Piala Thomas yang berlangsung di Stadium Putra di sini.
China akan berdepan dengan Indonesia di peringkat akhir yang akan berlangsung pada 2 petang hari Ahad selepas Indonesia mengalahkan Jepun 3-1 dalam perlawanan lebih awal.
Malaysia, pilihan ketiga, kini perlu menunggu dua tahun lagi bagi mengakhiri kemarau trofi rebutan selama 18-tahun, setelah akhir sekali menang dalam perlawanan di Kuala Lumpur pada 1992.
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang bermain menentang pemenang pingat emas dan johan dunia tiga kali, Lin Dan, kalah 17-21, 8-21 dalam masa 47 minit.
Dalam set pertama, Chong Wei ketinggalan di belakang Lin Dan 3-10, 9-16, 17-20 sebelum pukulan singkat oleh Lin Dan memberikannya mata kemenangan 21-17.
Sementara Lin Dan melakukan gerak permainan normal, pemain Malaysia itu kelihatan tegang dan gagal menyaingi lawannya di jaring dan terus menghantar shuttle di luar garis tapak.
Ketinggalan belakang 2-6, 6-14, 7-20 dalam set kedua, Lin Dan memberi peluang kepada Chong Wei untuk menambah mata sebelum menguasai perlawanan 21-8, menerusi pukulan singkat.
Chong Wei berkata segala perancangan awalnya tidak menjadi dan beliau juga teragak-agak dalam perlawanan set pertama.
"Semuanya tidak menjadi. Ketika Lin Dan mendahului 9-16 pada set pertama, saya kehilangan arah, seolah-olah gelanggang menjadi kecil dan tidak tahu ke mana untuk menghantar bulu tangkis.
"Lin Dan juga bermain garang. Mungkin saya terlalu inginkan kemenangan tetapi itu bukan alasan kekalahan saya," katanya kepada pemberita, hari ini.
Sementara Lin Dan berkata kedua-dua mereka bermain dalam keadaan tertekan oleh kerana kedua-dua pasukan mahukan mereka mencapai kemenangan pertama, untuk membuka laluan mara kepada pasukan masing-masing.
"Saya dapat rasakan Chong Wei tegang. Mungkin, selepas 18 tahun sejak Malaysia memenangi Piala, Chong Wei merasakan tanggungjawabnya berat untuk membawa pulang piala tersebut.
"Dan saya gembira dapat mengalahkan pemain Malaysia di negaranya sendiri," kata Lin Dan, yang hanya berada satu anak mata tangga di bawah pemain Malaysia itu dalam ranking dunia.
Kali terakhir Chong Wei menentang Lin Dan ialah pada separuh akhir Kejohanan Masters China pada September tahun lepas di mana pemain Malaysia itu tewas dalam tiga set, 20-22, 15-21, 7-21.
Kekalahan hari ini meluaskan lagi jurang rekod antara Chong Wei dan Lin Dan, kepada 6:14 menyebelahi Dan.
Dalam perlawanan kedua, regu nombor satu dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut gagal mewajarkan ranking mereka, tewas 15-21, 10-21 dalam 36 minit kepada regu nombor lapan dunia, Cai Yun/Fi Haifeng.
Regu China yang telah menumpaskan pasangan Malaysia dalam empat kejohanan lepas, memulakan perlawanan hari ini penuh yakin dengan memenangi set pertama dengan mata 21-15.
Dalam set kedua, regu Malaysia tewas 10-21 kepada lawan mereka.
Pada perlawanan ketiga, pemain lama Malaysia, Wong Choong Hann, gagal menyaingi perseorangan kedua China, Chen Jin, dan tumpas 16-21, 7-21 dalam 41 minit.
Pada 1992, bila peringkat akhir Piala Thomas berlangusng di Stadium Negara, Malaysia memenangi perlawanan dengan menumpaskan Indonesia 3-2.
Sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1948, Malaysia memenangi pertandingan itu lima kali -- pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.
Malaysia mara ke separuh akhir 13 kali, akhir sekali pada 2002 di Guangzhou, China, di mana mereka tewas kepada Indonesia 2-3. Di separuh akhir ketika itu, Malaysia menumpaskan China 3-1.
Sementara China memenangi piala itu tujuh kali pada 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006, 2008 dan dua kali naib johan pada edisi 1984 dan 2000.
-- BERNAMA
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...