Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, September 27, 2010

PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu



Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 26 Sept: Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerajui pentadbiran negara, maka kuasa Melayu tidak akan hilang, sebaliknya kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan terhapus dari persada politik negara ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir dan PAS Kawasan Permatang Pauh di Permatang Pasir, semalam.

Menurutnya, adalah tidak munasabah dakwaan yang dikeluarkan oleh Mahathir sebagai seorang yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negara terhadap PR.

"Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun.

"Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya tidak lagi diberi perhatian kerana tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar.

Tambahnya lagi, kuasa Umno dan BN itu yang dianggap sebagai kuasa dan suara Melayu adalah satu pandangan yang meleset dan mengelirukan rakyat.

"Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno.

"Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi.

HD


Jual Beli Tanah Sosilawati Antara 290 Kes Disiasat Unit Jenayah Komersil


KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Kes penjualan dan pembelian tanah diBukit Jambul, Pulau Pinang yang dikendalikan peguam yang disyaki suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ialah antara 290 kes membabitkan peguam yang dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Timbalan Pengarah JSJK Datuk Noryah Md Anvar berkata polis sedang menyiasat kes-kes jenayah komesil itu yang membabitkan peguam di seluruh negara termasuk membabitkan kes penipuan penjualan tanah dan rumah.
"Kesalahan lain ialah menipu, pemalsuan dokumen, geran tanah dan afidavit serta pecah amanah," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, hari ini.
Difahamkan pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Pulau Pinang milik Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi.
Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.
Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 12 Sept lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
Ketika ditanya siasatan kes tanah itu, Noryah enggan mengulas lanjut dan berkata akan memaklumkannya kepada media jika terdapat perkembangan terkini.
Beliau berkata sehingga kini, 35 peguam telah ditahan di seluruh negara membabitkan penipuan penjualan tanah termasuk seorang peguam berusia 50 tahun yang ditahan pagi ini kerana terbabit dalam kes penipuan tanah bernilai RM15 juta.
"Peguam itu ditahan di rumahnya di Sunway pada pukul 8 pagi ini kerana dipercayai terlibat dalam penipuan penjualan tanah di Kuala Lumpur.
"Dia akan dituduh di mahkamah hari ini," katanya.Noryah berkata daripada 35 peguam yang ditahan itu, 10 orang adalah di Selangor, lapan di Johor, empat orang masing-masing di Kedah dan Kuala Lumpur, tiga orang masing-masing di Perak dan Negeri Sembilan, dua di Melaka dan seorang di Pulau Pinang.
"Mereka berjawatan profesional, sangat licik dan menggunakan kepercayaan serta harapan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan mereka dengan menipu.
"Kebanyakan kesalahan ialah memalsukan dokumen termasuk geran tanah sehingga pejabat tanah mempercayai tindakan mereka itu," katanya.
(Bernama)


Satira: Banyak tanda tanya penahanan Zunar



KUALA LUMPUR, 26 Sept: Tindakan keras yang diambil pihak polis dalam menahan kartunis terkenal tanahair, Zunar menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan.

Menurut Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), ini demi mengekalkan kepercayaan masyarakat akan ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam menerima sebarang maklumbalas daripada masyarakat mengenai perlaksanaan amanah dan tanggungjawab kerajaan.

Naib presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara persoalan yang wajar dijelaskan ialah mengapa kebebasan bersatira untuk memperbaiki dasar pentadbiran awam diwar-warkan sebagai hasutan.

Katanya, satira merupakan salah satu kaedah kritikan berlapik yang diterima pakai sejak zaman belum merdeka lagi dan digunakan oleh ramai pejuang kemerdekaan seperti Pak Sako dan Pendeta Za’ba.

Justeru, katanya Ikram memandang serius mengenai penangkapan dan penahanan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque di bawah Akta Hasutan.

Ikram, jelas beliau pada dasarnya bersetuju dengan keperluan untuk melindungi masyarakat awam daripada diperdaya dengan laporan dan pengkhabaran palsu yang mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.

Katanya, karya kartun semasa Zunar tidak tersiar di mana-mana akhbar atau makalah, dan buku-buku yang dijual pula sukar untuk didapati di toko-toko buku utama.

Namun, tambahnya kenyataaan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang sudah lama diwar-warkan dalam media arus perdana tidak pula mengundang apa-apa tindakan undang-undang.

Malah, katanya lagi pemimpin nombor dua negara pun mengaku apa-apa tindakan terhadap pencetus insiden yang mencalar maruah kaum minoriti itu bukan di bawah bidang kuasanya.

“Bagaimana satira politik boleh dianggap lebih berbahaya daripada isu perkauman, sehingga perlunya Zunar dihantar ke beberapa lokap berturut-turut sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan, sedangkan Akta Hasutan digubal untuk mengelakkan pemberontakan besar-besaran melalui cara-cara yang bercanggah dengan perlembagaan negara seperti tindakan subversif gerila komunis pada awal kemerdekaan Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Ikram mengesyorkan mana-mana institusi atau badan kerajaan yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap palsu dan berunsur fitnah dalam media bebas seperti forum atau blog di internet supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan.

Beliau menambah, tindakan menggertak dan menangkap para pengkritik dasar kerajaan dan menuduh mereka di bawah Akta Hasutan hanya akan menambahkan kesangsian rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk mengekalkan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak yang wajar dinikmati rakyat.

Kerajaan, ujarnya perlu menyedari bercambahnya masyarakat Malaysia melalui media bebas seperti blog adalah berpunca dari kelemahan arus media perdana yang dilihat sebagai tidak objektif dalam menyebarkan berita serta gagal dalam meraikan kepelbagaian pendapat semasa segenap lapisan masyarakat yang berbeza falsafah politik dan kepercayaan.

Tambahnya, Ikram menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan Zunar dengan serta merta agar keyakinan rakyat terhadap keterbukaan kerajaan dalam penerimaan kritikan awam demi penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan negara dapat dikekalkan.

“Sekiranya ditahan maka prosedur penahanan dipatuhi dan hak peguam perlu diberikan kepada Zunar. Sebarang tindakan intimidasi dan tekanan harus dihentikan,” ujarnya lagi.

HD


LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive