—Kenyataan Media Untuk Edaran Segera—8hb OGOS 2008, PETALING JAYA, MALAYSIA
Saya berjanji sebuah kerajaan yang diperintah Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia tidak perlu lagi takut kepada penahanan dan perbicaraan yang arbitrari. Pegawai polis dan pendakwaraya yang berkonspirasi untuk memfitnah dan memalukan orang yang tidak bersalah akan dihukum. Setiap rakyat Malaysia pasti akan mendapat perbicaraan yang adil, di mana seseorang itu tidak bersalah selagi adanya bukti yang jelas untuk membuktikan sebaliknya. Penggunaan kuasa polis dan Peguam Negara untuk menghukum musuh politik akan diharamkan bagi memastikan demokrasi yang sihat, di mana sebarang perbezaan pendapat bukan sahaja di benarkan malah digalakkan.
Dengan ini setiap hak rakyat Malaysia akan dianggap sebagai suci dan akan dilindungi oleh kehakiman yang bebas dipandui oleh prinsip-prinsip yang selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Perbicaraan bermotifkan politik yang dibuat ke atas saya, dengan izin Allah merupakan yang terakhir.
Apa yang berlaku semalam membuktikan saya sememangnya tidak bersalah dari sebarang pertuduhan yang muncul baru-baru ini. Laporan perubatan dan akuan bersumpah oleh Dr Osman yang muncul pada hari Khamis seharusnya menghilangkan sebarang keraguan dan pertanyaan yang masih timbul samada kejadian itu berlaku ataupun tidak. Kenyataan Dr Osman juga mengesahkan apa yang kami nyatakan sebelum ini berkenaan usaha memualkan pihak polis untuk memalsukan bukti di dalam kes ini, dengan cara yang sama di dalam memanipulasikan kes saya pada tahun 1998. Kredibiliti pihak polis pasti rosak dengan tiadanya penyiasatan yang teliti terhadap wujudnya salah tata urus penyiasatan kes saya.
Keselamatan doktor tersebut ternyata menjadi kebimbangan kami. Saksi utama kes berprofil tinggi di Malaysia sering hilang pada masa lalu seperti PI Balasubramaniam. Saya memuji individu-individu berani yang mempamirkan komitmen mereka kepada kebebasan dan keadilan dengan melangkah ke hadapan membawa bukti penting. Saya mahu pihak berkuasa memastikan keselamatan mereka.
Semalam di mahkamah, kita sedar kejelikan kes yang dibawa oleh pihak pendakwaraya ternyata mempunyai persamaan dengan kegagalan perbicaraan 1998, pendakwaan sudah pun bertukar dari aksi yang memaksa kepada aksi sukarela. Ini semua terjadi kerana konspirasi yang dicipta pada minggu terakhir bulan Jun sudah mulai retak dan berkecai. Ada usaha yang terburu-buru dari pihak polis untuk menutup sebarang kelemahan pengakuan petuduh. Usaha mereka pastinya gagal kerana bukti yang ada sangat jelas menunjukkan sebaliknya serta adanya rakyat Malaysia yang berani ke hadapan untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.
Perdana Menteri telah secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan kareer politik beliau. Penglibatan beliau dalam kes ini pasti mengakibatkan krisis tenat di dalam pentadbirannya. Penyokong kuat beliau di kalangan orang Melayu sendiri mulai muak dengan perkara ini. Tambahan lagi Perdana Menteri Abdullah Badawi sedang berhadapan dengan penyiasatan Badan Pencegah Rasuah berkenaan penglibatan beliau di dalam korupsi dan politik wang.
Bayangan korupsi dan salah urus ekonomi menjadi legasi pentadbiran beliau. Perdana Menteri Abdullah masih gagal memberikan sebarang penjelasan yang meyakinkan berkenaan keuntungan besar yang diraih oleh keluarga beliau hasil dari penglibatan keluarga beliau dalam skandal Minyak untuk Makanan yang melibatkan rakyat Iraq yang terdesak dan di ambang kematian.
Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang.
Agenda Reform Pakatan Rakyat kembali ke landasan yang tepat dan Harapan Baru untuk Malaysia sudah semakin dekat. Kami akan memastikan kempen yang bersepadu untuk memenangi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar meliputi penduduk yang pelbagai latar dan etnik dari kawasan tersebut. Saya berhasrat untuk memasuki Parlimen pada 27hb Ogos 2008 dengan sokongan rakan-rakan saya di dalam pakatan sebagai pemimpin mereka yang baru.
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...