Khamis, September 24, 2009
'Kump ke-3' dalang DVD seks Chua
Penyebaran kembali DVD skandal seks bekas pemimpin kanan MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bertujuan menarik simpati kepadanya dan sekali gus menyalahkan presiden parti, kata seorang pemimpinnya.
Ahli jawatankuasa pusat MCA Datuk Ti Lian Ker berharap anggota parti itu tidak terpesong dengan tindakan itu yang bertujuan "menyebabkan kerosakan maksimum kepada parti dan membangkitkan kemarahan mereka yang bersimpati" pada bekas timbalan presiden itu terhadap Datuk Seri Ong Tee Keat.
Hujung minggu lalu DVD yang memaparkan imej seorang lelaki dengan wanita mengadakan hubungan seks di sebuah bilik hotel - yang mula disebarkan di Johor hujung 2007 - dilaporkan diedarkan kembali di kalangan perwakilan parti itu dan sesetengah pemimpin BN.
MCA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Oktober ini bagi membahaskan isu pemecatan bekas menteri kesihatan itu yang dibuat akhir Ogos.
Jawatankuasa pusat parti bagaimanapun menukar keputusan Majlis Presiden kepada penggantungan keahlian Dr Chua kepada empat tahun, Sabtu lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, Ti menuduh "Kumpulan Ketiga" - mereka yang tidak menyokong Ong dan juga Dr Chua - mengambil kesempatan dengan menyebarkan bahan lucah itu sewaktu kedua-dua tokoh MCA sedang mengalami krisis teruk.
"Kemunculan semula DVD itu satu lagi tindakan tangan-tangan halimunan untuk membangkitkan perasaan, kemarahan dan kebencian di kalangan ahli-ahli bagi memalukan Dr Chua yang diperkirakan demi meletakkan kesalahan kepada kepemimpinan MCA kini.
"Memang terdapat Kumpulan Ketiga dalam parti ini berhasrat mencetuskan kerosakan maksimum terhadap keperibadian dan kewibawaan kedua-dua Ong dan Dr Chua," katanya.
"Motif mereka jelas, untuk mencabut kepemimpinan Tee Keat daripada parti dan untuk menghancurkan Dr Chua selama-lamanya.
"Kesan akhir kemarahan MCA akan menyebabkan parti ini hancur lebur dan mereka yang menggalas kepimpinan baru parti nanti lambat laun hanyalah seorang ketua yang lemah."
Ti, yang juga pengerusi biro perhubungan NGO parti itu, berkata Kumpulan Ketiga berniat mengawal kepemimpinan MCA demi kepentingan diri dan agenda mereka.
"Mereka mahu mencaturkan kepemimpinan MCA seperti pada masa lalu. Pertelingkahan dalam parti ini membuka peluang mereka untuk 'menyelam sambil minum air'," katanya.
Beliau kemudian menyeru para perwakilan EGM parti itu nanti agar berwaspada dengan "tangan-tangan halimunan" yang memanipulasikan perkembangan yang boleh meleburkan imej dan maruah parti.
malaysiakini
E-Jariah: Beri sekali dapat banyak kali...ANDA BUAT ANDA DAPAT
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...