Khamis, Oktober 15, 2009

Jika saya kata ...mara... nescaya mereka mara | Nizar News



KUANTAN — “Jika saya kata ...mara... nescaya mereka mara tetapi memandadangkan strategi kita elakkan provokasi, saya kata kepada mereka (Pemuda PAS)...undur...maka mereka undur,” cerita Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Beliau menceritakan pendekatan yang beliau ambil dalam pilihan raya Kecil bagan Pinang, selepas berdepan dengan provokasi para juru kempen Umno.

Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang telah berakhir pada Ahad, 11 Oktober yang lalu dengan kemenangan berpihak kepada BN. Pilihanraya kecil ini juga telah menyaksikan berlakunya beberapa insiden pergaduhan dan kekasaran yang tidak diingini.

Bagi Nasrudin, yang telah merasai dan melalui pengalaman berpilihanraya, sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil sejak 1985 lagi, Bagan Pinang adalah paling bersejarah baginya kerana menjadi medan pilihanraya yang paling kotor dan tercemar akibat aksi-aksi ganas dan provokasi melampau.

Ujar Nasrudin, ia tidak menghairankan jika berlaku dua puluh atau tiga puluh tahun dahulu, seperti banyak diceritakan oleh veteran-veteran politik kepadanya, kerana ketika itu tahap pendidikan politik sememangnya rendah.

Tetapi keluh Nasrudin, amatlah malang selepas setengah abad merdeka dengan kebanyakan rakyatnya berpendidikan, apatah lagi dengan kewujudan universiti dan graduan yang melata, tahap pendidikan politik rakyat Malaysia masih sama seperti dahulu.

Sepatah kata Nasrudin, kita masih menggunakan hujah kekuatan, bukan kekuatan hujah!

Bagi pihak PAS, Nasrudin amat berharap yang partinya akan dapat melakukan sesuatu selepas ini dalam menghindari sebarang keganasan dari berlaku sewaktu pilihanraya. Kepada lawannya, iaitu Umno dan BN, Nasrudin sempat menyeru, selaku parti pemerintah, mereka sepatutnya mampu bertindak secara lebih positif dalam menyediakan medan politik yang lebih tenang, aman, sejahtera dan harmoni.

Nasrudin tegas dengan komitmennya untuk menyediakan satu suasana politik yang lebih matang, berhemah dan berhikmah, maka ahli-ahli PAS selepas ini akan sentiasa diingatkan supaya mengelakkan diri dari terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi.

Nasrudin memahami yang ini tidak mudah, bahkan lebih sukar dari menahan diri untuk tidak mencetus provokasi. Lalu Nasrudin mengakui ada segelintir petugas PAS yang terpengaruh dengan asakan provokasi dan bertindak-balas.

Namun secara keseluruhannya Nasrudin begitu berbangga dengan majoriti petugas PAS yang sentiasa mematuhi arahan pimpinan biarpun dalam keadaan yang tegang. Kelat wajah mereka bila diminta berundur, tetapi mereka berundur juga. Petugas yang sama yang Nasrudin percaya kalau diminta mara, nescaya mereka akan mara tanpa takut sebarang mara bahaya.

Untuk mengelak dari keadaan ini berulang lagi pada masa hadapan, semua pihak ujar Nasrudin, sama ada dari BN atau dari Pakatan Rakyat harus mengambil Bagan Pinang sebagai bahan muhasabah bagi dinilai secara bijak dan terperinci.

Keamanan yang kita ingini setiap kali munculnya pilihanraya tidak akan tercapai seandainya pihak-pihak yang terlibat tidak mendepaninya secara matang, tambah Nasrudin lagi.

Keperluan ini, terang Nasrudin amatlah penting, lebih-lebih kepada PAS sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam. Akhlak Islam haram untuk dipertaruhkan semata-mata hanya mahu memenangi sebuah pilihanraya.

Mengulas tentang kalah-menang dan pergaduhan di Bagan Pinang, Nasrudin merumuskan kemenangan yang didasari kekerasan adalah kemenangan yang tidak bermoral, sebaliknya kekalahan akibat penindasan dan penganiayaan adalah kalah yang bergaya.-Malaysian Insider


Beri sekali dapat banyak kali...
MAHUKAN PENDAPATAN RM2000-RM3000 SEMINGGU?
ANDA BUAT ANDA DAPAT
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...