Sabtu, Februari 20, 2010

Lagi ditahan ISA



KUALA LUMPUR: Belum pun kerajaan mengusulkan pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) negara dikejutkan dengan satu lagi siri penangkapan ISA baru-baru ini.

Kali ini mangsanya adalah beberapa belas orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilaporkan telah ditahan sejak 21 Januari lalu. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar Afrika dan Timur Tengah yang menuntut di UIA, USM dan beberapa buah IPT di ibu negara.

Mereka ditahan oleh Unit Tindakan Khas ketika sedang mengadakan kuliah agama dan ulangkaji pelajaran di Sungai Cincin, Gombak. Seramai 50 orang disoal siasat sehingga jam 3 pagi sebelum dibebaskan. Dua belas daripada mereka dimasukkan di bawah ISA dan masih belum diketahui nasib sehingga ke hari ini.

Pihak Kementerian Dalam Negeri mengesahkan mereka ditahan berkaitan dengan gerakan Wahabi yang kononnya cenderung kepada keganasan namun alasan ini dibantah keras oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Berikutan itu GMI telah mengadakan satu sesi penyerahan memorandum kepada pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) Datuk Siva Subramaniam pada pagi ini di pejabat agensi itu di Wisma Denmark.

Bagi pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) penahanan ISA jelas mengancam hak asasi manusia dan ia tidak sepatutnya berlaku di negara yang bertamadun.

“Ini bukan soalnya rakyat asing atau warganegara. Semua orang harus diberikan hak dibicarakan secara adil. Kerajaan perlu fikirkan mengenai nasib keluarga para tahanan tersebut di negara asal mereka.

“Dalam hal ini Suhakam harus mengambil tindakan tertentu berhubung pengaduan ini,” katanya di hadapan pesuruhjaya Suhakam.

Siva bagaimanapun menegaskan Suhakam telah ,mengambil langkah perlu dengan meminta pengesahan dari pihak berkuasa berhubung status tahanan dan memohon untuk melawat mereka.

“Kita telah bertindak. Suhakam tidak menunggu memorandum, dalam hal ini kita telah bermesyuarat dan telah memajukan perkara ini kepada menteri,” katanya.

Namun Siva gagal menjawab dengan jelas soalan wartawan, kementerian manakah Suhakam telah berurusan dan bagaimanakah nasib terkini para tahanan.

Syed Ibrahim dalam kenyataan medianya kemudian berjanji akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pihak berkuasa berhubung keadaan tahanan.

Sehingga kini hanya 9 daripada 12 tahanan telah dikenal pasti, seperti berikut:

1. Azzahari Murad (Malaysia)
2. Aiman Al Dakkak (Syiria)
3. Mohamed Hozifa (Syiria)
4. Kutiba Al Issa (Syiria)
5. Klaid Salem (Yaman)
6. Luqman Abdul Salam (Nigeria)
7. Hassan Barudi (Syiria)
8. Hussam Khalid (Jordan)
9. Abdul Alho Bolajoko Uthman (Nigeria)

Mengenai ISA katanya, GMI tidak akan bertolak ansur dan akan terus mendesak akta itu dimansuhkan sama ada melalui perundingan awam dengan parti-parti politik atau berdemonstrasi di jalan raya.

erapakatan





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...