Ahad, Februari 07, 2010

Surau jadi port maksiat


KUALA KRAU - Kemudahan surau dan tandas awam di taman rekreasi bersebelahan tapak pekan sari dan pasar malam disalahgunakan oleh pihak tertentu menyebabkan ia menjadi sarang penagihan dadah dan tempat melepaskan hawa nafsu segelintir remaja.

Beberapa peniaga pasar malam di sini yang ditemui Sinar Harian melahirkan rasa kesal dengan sikap individu tersebut kerana menyukarkan mereka untuk menunaikan solat Asar dan Maghrib.

Peniaga yang ditemui, Sarimah Abdullah, 35, berkata, keadaan surau di taman rekreasi di sini dipenuhi dengan sampah sarap, botol minuman keras dan sebagainya.

Menurutnya, peniaga terpaksa menunaikan solat di atas pentas di taman rekreasi ini dan dapat dilihat oleh ramai pengunjung pasar malam menyebabkan golongan wanita berasa malu dan segan.

“Golongan wanita terpaksa menunaikan solat di tengah khalayak ramai kerana surau di sini tidak dapat digunakan kerana terlalu kotor dan membahayakan. Namun apa yang dapat kami lakukan. Kami terpaksa menunaikan solat di tempat awam tersebut kerana tidak boleh meninggalkan gerai terlalu lama.

“Kami harap pihak berkuasa dapat mengatasi masalah ini dan membantu peniaga menyediakan sebuah surau untuk menunaikan solat,” katanya.

Peniaga yang ditemui juga melahirkan kekecewaan kerana lokasi surau dibina terlalu jauh dan sunyi daripada pandangan orang ramai dan ini membahayakan pengunjung terutama wanita.

Tinjauan Sinar Harian ke pasar malam itu mendapati, peniaga wanita terpaksa menunaikan solat di tempat awam dan mendapati surau dan tandas tidak boleh digunakan kerana menjadi sarang penagihan dadah dan tempat tinggal bagi golongan yang kurang siuman.

Seorang lagi peniaga, Mutalib Ibrahim, 40, berkata, pihak bertanggungjawab perlu menjadikan sebuah gerai bersebelahan pasar malam di sini sebagai surau kerana ia berdekatan, bersih dan dikunjungi ramai orang bagi mengelakkan berlakunya jenayah terhadap wanita.

Menurutnya, kemudahan awam seprti tandas juga perlu di bina di sini bagi memudahkan orang ramai dan peniaga menggunakannya ketika kecemasan dan tidak perlu pergi jauh hingga pekan Kuala Krau.

“Keadaan pintu surau ini juga sudah rosak kerana perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab dan suka melakukan vandalisme terhadap kemudahan yang ada di taman rekreasi ini,” katanya.

Katanya, orang ramai meminta pihak Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) memantau kawasan ini pada waktu malam kerana ia sunyi dan sesuai dijadikan tempat maksiat dan pesta minum minuman keras oleh segelintir remaja.

Kunjungan Skuad Cakna ke kawasan itu juga mendapati banyak botol minuman pelbagai jenama bertaburan dan unggun api yang dipasang dipercayai untuk tujuan pesta minuman keras.

Kawasan ini terletak di lereng bukit dan terlindung oleh pokok-pokok menyebabkan orang ramai tidak tahu akan kegiatan maksiat yang dilakukan di kawasan ini.



Gotong-royong bersih surau

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, kawasan itu merupakan kawasan yang cepat dinaiki air sungai Pahang kerana ia terletak tidak jauh dari sungai itu dan sentiasa ditenggelami air setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, surau tersebut akan kotor dan dipenuhi sampah sarap kerana semua bahan tersebut akan berkumpul dan masuk ke dalam surau itu apabila air banjir surut.

“Surau itu tidak dibersihkan selepas banjir beberapa bulan lalu dan pihak saya akan memastikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini menjalankan kegiatan gotong-royong membersihkan surau itu dalam masa terdekat.

“Saya harap orang ramai sama-sama menjaga kebersihan surau itu supaya dapat digunakan bersama untuk menunaikan solat. Saya akan memastikan JKKK tersebut membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan kawasan ini,” katanya.

Katanya, taman rekreasi itu akan menjadi tumpuan orang ramai setiap petang apabila trek joging akan siap dalam masa terdekat dan segala prasarana akan dibaik pulih bagi memastikan pengunjung berasa lebih selesa dan selamat.

“Saya harap pengunjung akan menggunakan kemudahan yang ada di taman ini sebaik mungkin dan dapat berkumpul bersama keluarga setiap petang supaya ikatan kekeluargaan bertambah erat dan dapat berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.

sinarharian



BEKERJA SECARA SAMBILAN ATAU SEPENUH MASA DI RUMAH
Beri sekali dapat banyak kali...
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...