Isnin, April 19, 2010

Godaan pak hitam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang sudah bercucu bukan saja lebur lebih RM600,000, malah tergamak mengheret suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar ke mahkamah untuk menuntut cerai selepas menjadi angau dek panahan cinta palsu playboy warga Afrika.

Menceritakan kisahnya ketika ditemui baru-baru ini, kata Sofea, dia mula menyedari diperdayakan apabila wang simpanan serta tabungan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM600,000 hangus begitu saja.


“Sebelum itu, apabila mengetahui dia ditahan pihak berkuasa, saya masih menghubunginya dan menyediakan tiket penerbangan untuk dia pulang ke Nigeria pada Mei tahun lalu.


“Namun hati saya menjadi tidak keruan sepanjang dia pulang, menyebabkan saya membuat kerja gila apabila sanggup menaiki penerbangan selama 14 jam untuk ke negara terbabit semata-mata untuk bertemu lelaki berusia 42 tahun itu,” katanya.


Sebaik tiba di negara itu, dia terkejut apabila mendapati lelaki itu yang dikenali sebagai Fareed hidup mewah dengan memiliki pelbagai aset seperti perniagaan, ladang ternakan ikan, beberapa unit pangsapuri yang disewakan serta banglo mewah.


“Dia mengaku semua harta diperoleh hasil kegiatan jahat dengan memperdayakan wanita bukan saja di Malaysia, malah beberapa negara lain.


“Setiap kali dihantar pulang oleh pihak berkuasa tempatan, dia mencari lokasi baru untuk dikunjungi semata-mata mengikis wanita malang lain sebagai cara mudah mencari kekayaan,” katanya yang masih tidak boleh melupakan teman lelakinya.


Bagaimanapun, menurut Sofea, lelaki terbabit masih menghubunginya menggunakan SMS bagi meminta bantuan kewangan menggunakan pelbagai alasan di samping berjanji akan mengahwininya.


“Ketika dia di negara ini, saya sedar pada masa sama saya ‘dimadukan’ dengan wanita tempatan lain, namun tidak mampu meninggalkannya.


“Walaupun pernah diserang teman wanitanya yang lain kerana didakwa merampas Fareed, saya tidak peduli, malah sanggup berjanji sehidup semati dengannya,” katanya.


Menceritakan kisah pertemuan mereka dua tahun lalu, Sofea berkata, dia diperkenalkan kepada Fareed oleh rakannya yang turut menjalin hubungan dengan lelaki Afrika.


“Di awal perkenalan, Fareed sering menyediakan makanan dan saya dihidangkan makanan negara asalnya iaitu pisang bakar dan herba. Bermula daripada situ, saya menjadi gila bayang seolah-olah angau walaupun pada mata kasarnya Fareed bukan kacak.


“Keadaan saya seolah-olah lembu dicucuk hidung. Apa saja permintaannya, termasuk menyewakan sebuah kondominium untuknya, saya turutkan walaupun keadaan kewangan saya tidak menentu,” katanya yang kini menjalani rawatan perubatan tradisional kerana percaya terkena ‘ubat guna-guna’ Fareed.


Dia mendakwa pada mulanya tidak pernah menyimpan perasaan pada Fareed, namun sikap romantik dan penyayang lelaki itu menyebabkan dia ‘cair’.


“Jika bersamanya, hidup saya terasa indah dek termakan janji manisnya, apatah lagi saya yang bergelar nenek dipanggil dengan panggilan manja seperti ‘sweetheart’, ‘baby’ dan ‘princess’. Semua itu menyebabkan saya lupa diri serta suami yang sakit.


“Tiba-tiba saja saya berubah sikap daripada seorang yang cermat kepada pemboros gara-gara mengikut kehendak gilanya hingga licin semua wang simpanan dan tabungan KWSP hasil titik peluh bekerja selama 30 tahun,” katanya.


Menyifatkan hidupnya kini semakin terumbang ambing serta hilang pedoman, Sofea kesal kerana tindakan bodohnya juga menyebabkan keluarganya kini berpecah belah, apatah lagi anak kini tidak mempercayainya.


Lebih menyedihkan, katanya, ketika anak meminta bantuan, Sofea yang sebelumnya ibu penyayang tidak menghiraukan mereka, sebaliknya lebih mengutamakan Fareed.


Ketika ditemui, Sofea turut menunjukkan SMS kiriman Fareed yang penuh kata-kata manis, antaranya: “Good nyte my sweetheart, thank 4 all the love and kindness... i believe u darling. i want to live the rest of my life with u. Baby, u r my pride.. i want to join u as as soon as possible. Sleep well and dream of me, your poor lonely husband.


(Selamat malam kekasih hatiku. Terima kasih di atas kasih sayang dan kebaikanmu. Aku percaya padamu sayang. Aku akan menghabiskan sisa hidupku bersamamu. Sayangku, engkau kebanggaanku dan aku berjanji untuk bersamamu secepat mungkin. Tidurlah dengan lena dan mimpikan diriku, suamimu yang lemah dan kesepian).


Sofea kini percaya kebanyakan warga Afrika yang menjalin hubungan dengan wanita tempatan mempunyai niat terselindung sama ada mahu mengikis harta mereka, sekadar memuaskan nafsu atau menjadi alat bagi melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Bagi memudahkan menjerat mangsa, mereka dipercayai menyiasat latar belakang seseorang itu, terutama wanita berusia dan bekerjaya sepertinya yang dahagakan perhatian lelaki bagi memudahkan menjalankan misi menipu serta mengikis harta mereka.

hmetro







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...