Sabtu, April 03, 2010

Lucut gelaran helah BN alih perhatian rakyat


IPOH – Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan desakan menuntut perlucutan gelaran ‘Datuk’ ke atas beliau dan ‘Datuk Seri’ terhadap ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai helah Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, setiap kali Barisan Nasional gagal menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ADUN Pakatan Rakyat, BN pasti akan membuat agenda lain, bagi mengalih perhatian rakyat yang mahukan kuasa dikembalikan supaya DUN dibubarkan.

“BN sengaja menimbulkan helah. Gelaran yang kami (Koo Ham dan Mohammad Nizar) adalah penghormatan daripada Istana.

“Sepatutnya BN jangan melibatkan Istana dalam isu politik. Inilah mereka, cuba mencari tempat berteduh jika gagal menjawab persoalan yang dilontarkan oleh PR,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau enggan mengulas berhubung perkara itu.

“Ia terpulang kepada Tuanku (Sultan Perak) dan ia adalah hak-hak dan budi bicara Tuanku,” katanya dalam satu sidang media di kediaman rasminya di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan bahawa Pemuda UMNO Perak akan menyerahkan memorandum bagi memohon perkenan Sultan Perak agar menarik balik gelaran serta pingat yang dianugerahkan kepada Koo Ham dan Mohammad Nizar.

sinarharian




2 ulasan:

  1. Lucut Dato' & Dato' Seri. Bahlul sungguh pemuda & seluruh ahli umno (kalau sokong peri laku pemuda). Mengapa ye mereka ini menjadi golongan tiada ilmu? Atau ilmu yang guru-guru mereka dulu sampaikan tak masuk ke otak mereka? Atau guru-guru mereka dulu ahli umno?

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama6/4/10 3:38 PTG

    kita perlu ingat semasa lahir tiada gelaran yang dibawa begitu juga setelah mati....Hatta di akhirat nanti tiada pangkat yang dilihat melainkan pahala dan dosa yang membezakan umat manusia....renung-renungkan dan selamat beramal...

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...