Khamis, April 01, 2010

PAS Kedah yakin rampas kerusi Kota Siputeh

Oleh MOHD SHUBIHI MUHAMAD ZAIN


Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak yakin PAS mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan dalam masa terhampir ini.

Menurut Azizan, kesungguhan yang dipamerkan oleh petugas-petugas dan jentera di semua peringkat parti membuktikan kesungguhan mereka untuk menawan kerusi yang selama ini disandang oleh Barisan Nasional (BN).



Azizan berucap di hadapan petugas-petugas PAS di semua peringkat ketika merasmikan Majls Taakhi PRK Kota Siputeh di Markas PAS Masjid Paya, 20 Mac lalu.

Majlis yang mempertemukan jentera tempatan di peringkat Unit Peti Undi (UPU) dengan pasukan pembantu dari kawasan-kawasan di seluruh Negeri Kedah adalah merupakan langkah awal PAS untuk mencapai hasratnya merampas kerusi DUN Kota Siputeh.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS perlu mencapai kemenangan dalam PRK Kota Siputeh untuk memperkukuhkan kerajaan yang dimenangi semasa pilihan raya umum yang lalu.

"Taktik musuh (BN) ialah menunggu ketikanya jentera kita lemah barulah mereka akan mengadakan pilihan raya, dan kita kena bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapinya.

"Hanya kemenangan akan memperkukuhkan kerajaan yang dimenangi dalam pilihan raya umum yang lalu. Kita akan hadapi masalah sekiranya gagal merampas kerusi ini, musuh akan menyerang kita dari segenap sudut untuk merampas kerajaan sekiranya kerajaan kita tidak kuat," jelasnya.

Azizan turut menyarankan jentera dan petugas-petugas untuk menggunakan pendekatan yang terbaik bagi menambah keyakinan rakyat kepada PAS.

"Rakyat makin yakin dengan kemampuan kita mentadbir negeri, dan kita perlu mengekalkan keyakinan rakyat untuk merampas Kota Siputeh yang sekaligus akan memperkukuhkan kerajaan yang ada.

"Kita juga perlu menggunakan pendekatan yang cukup berhemah apabila berhadapan dengan penyokong Umno dan BN untuk mengalih sokongan mereka kepada PAS," katanya.

Menurut Azizan, keputusan penghakiman berhubung kes kerusi DUN Kota Siputeh akan diumumkan dalam waktu terdekat ini dan PRK akan diadakan bagi mengisi kekosongannya.

Kerusi itu dikosongkan sejak Ogos tahun lalu akibat kegagalan wakil rakyatnya menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa sebarang notis pemberitahuan.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Senator Muhamad Yusof Hussin dan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, Ustaz Abdul Ghani Ahmad.

detikdaily






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...