Oleh: WFAUZDIN NS
BERTUAH sungguh orang-orang yang menetap di kawasan Hulu Selangor tidak berapa lama lagi. Meskipun mereka masih berada di dalam kesedihan di atas pemergian Wakil Rakyat mereka ke Rahmatullah baru-baru ini, tetapi takdir itu membawa seribu rahmat buat masyarakat di Hulu Selangor. Mahu tidak mahu Pilihanraya Kecil terpaksa diadakan. Seperti biasa, mana-mana kawasan yang berlaku Pilihanraya Kecil pastinya akan dilimpahi kemewahan yang tidak disangka-sangka.
Cuba sebut satu sahaja kawasan yang diadakan Pilihanraya Kecil yang tidak dilimpahi kemewahan secara tiba-tiba? Semua penduduk akan merasai betapa nikmatnya hidup sepanjang tempoh kempen diadakan. Bagi yang lelaki, mereka boleh minum teh tarik dan makan roti canai di warung atau restoren tanpa perlu membayar kerana akan ada `Sipemurah' akan membayarnya
Mereka tidak perlu lagi bekerja di ladang getah kerana akan ada `hantu raya' tolong torehkan getahnya seperti yang berlaku semasa Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai yang lepas. Bagi suri-suri rumah pula, mereka boleh lah duduk menonton TV sepanjang hari kerana akan hadir `Puteri-Puteri' dari kayangan berpakaian serba `pink' tolong membasuh kain, menyapu halaman rumah hatta tolong dodoikan anak-anak mereka.
Di saat menjelang pilihanraya nanti, dari sekarang jika rumah anda ada sikit-sikit bocor atap atau dinding rumah reput, lebih baik buangkan terus. Jangan khuatir, atap rumah anda dan dinding rumah anda akan ditukar dengan yang baru. Bayaran? Tidak perlu, anda cuma perlu ikatkan bendera logo keris telanjang tanpa sarung atau dacing baghdad berkarat tu pada tiang-tiang rumah anda. Tidak percaya? Cuba tanya orang-orang Manek Urai atau orang-orang di Bukit Gantang dan Permatang Pauh.
Tapi mereka mungkin silap apabila berdepan dengan masyarakat di Hulu Selangor ini. Jika di Kelantan, rakyat di sana telah diajar petua oleh Tuan Guru Nik Aziz bagaimana untuk berdepan dengan `hantu-hantu raya' yang boleh merupa-rupa ini. Di Kelantan mereka mengamalkan petua, "beri gula, kacau, beri kain, sarung, beri duit, ambil....undi tetap PAS". Hasil dari petua ini Kelantan selamat berpuluh tahun. Petua di Kelantan boleh digunakan di Hulu Selangor sekiranya kita ingin melihat `hantu-hantu raya' ini diperbodohkan. Telah lama orang-orang Melayu diperbodohkan oleh `hantu-hantu raya' yang boleh merupa berbagai rupa ini, kini tiba pula waktunya kita perbodohkan mereka pula.
Mereka ini tiada kekuatan apa-apa kecuali umpan duit, guna jentera kerajaan dan media pencacai mereka. Jangan pelik mulai sekarang kita akan mendengar beratus-ratus orang ahli PR keluar dan menganut `mazhab' Umno/Bn. Di Hulu Selangor nanti akan dimainkan lagu-lagu lama kitaran semula. Menteri-menteri akan datang setiap hari untuk merasmikan bangunan, projek, program hatta perasmian tandas awam pun akan ada menteri yang turun siap siaran langsung oleh TV. Anda jangan sangka negara kita ingin berperang atau huru hara apabila anda melihat beberapa tempat didirikan khemah-khemah Polis.
Mudah-mudahan penduduk-penduduk di Hulu Selangor tidak dirasuk oleh `hantu-hantu raya' ini. Persetankan jenis atau bangsa apa `hantu-hatu raya' ini samada berkulit sawo matang mahu pun berkulit gelap kerana `hantu raya' tetap `hantu raya' yang sentiasa ingin menipu./wfauzdin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...