Selasa, Mei 04, 2010
BN layak dipanggil penderhaka - Idris
KUALA LUMPUR : Parti Islam SeMalaysia (PAS) menganggap tindakan kerajaan BN menyerahkan dua telaga minyak di medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei secara percuma sebagai satu penderhakaan yang nyata kepada rakyat dan kedaulatan perlembagaan negara negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, keputusan itu hanya boleh dibuat melalui keputusan kabinet tanpa melalui Parlimen dan perkenan Yang DiPertuan Agong (YDPA).
“Di sini rakyat boleh mempersoalkan sikap BN terhadap YDPA, kerana Najib Razak jelas membelakangkan kuasa yang dipertua agong dan hak rakyat melalui wakil mereka di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan kepada erapakatan.com di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun mantan Perdana Menteri (PM), Abdullah Ahmad Badawi memulakan perjanjian itu pada 11 Februari 2009, namun Najib secara rasminya menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) selepas mengambil alih jawatan PM pada 16 Mac 2009.
“Siapa pun yang jadi Perdana Menteri yang jelas, BN jugalah parti yang khianati rakyat dan layak dipanggil penderhaka.
Ini bukan soal bagi kambing atau lembu kepada negara jiran. Ini soal bagi khazanah bernilai RM 320 bilion.
Dalam keadaan dunia berebut pemilikan telaga minyak, Kerajaan BN senang-senang memberikannya kepada negara jiran,” katanya.
Idris turut memberitahu bahwa ketika kerajaan dan rakyat di Kelantan (sejak PAS memerintah negeri itu pada tahun 1990) serta Terengganu (semasa PAS menawannya pada tahun 1999) menuntut royalti, macam-macam alasan yang diberikan oleh BN termasuklah menukarkan wang royalty kepada istilah wang ehsan.
Beliau menjelaskan, kerajaan BN menganggap rakyat Malaysia sebagai peminta sedekah dan pada masa yang sama menggap negara luar sebagai 'anak kandung' apabila sewenang-wenangnya menggadaikan bahagian tanah atau khazanah dalam negara secara percuma kepada negara lain.
“Kekecewaan rakyat terhadap insiden kegagalan Malaysia merampas kembali Pulau Batu Putih belum sembuh, kini Najib tandatangani pula surat penyerahan dua blok kawasan telaga minyak untuk negara lain.
Rakyat juga hairan kenapa tiba-tiba sahaja Kerajaan BN enggan membawa kes ini Mahkamah Antarabangsa.
Seolah-olah Perdana Menteri telah diberikan 'ubat tidur' atau kena pukau dengan sesuatu yang rakyat tidak tahu,” tegas beliau.
Sehubungan itu katanya, Pas menyeru agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini yang disifatkannya ‘ada sesuatu yang tidak kena’ apabila perkara itu dilakukan secara senyap tanpa melalui Parlimen dan Yang DiPertuan Agong.
erapakatan
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...