Selasa, Mei 04, 2010

Katak lompat’ hanya laku pada musim tertentu



Oleh LanH

PILIHAN raya Hulu Selangor baru-baru ini memberi peluang kepada ramai pemimpin politik yang berpaling tadah, muncul di kaca televisyen dan menghiasi dada-dada akhbar. Antara hujah ‘katak lompat’ ini adalah parti lama tidak mempedulikan mereka, kebajikan mereka terabai kerana pemimpin atasan hanya mementingkan diri.

Sekali dengar, macam benar kata-kata dan tindakan mereka itu – jika pemimpin tertinggi tiada masa untuk mereka dan tidak banyak membantu, lebih baik mereka meninggalkan parti dan menyertai pihak yang dapat menjanjikan kesenangan dan kemewahan.

Namun selepas berfikir banyak kali, ternyata alasan mereka hanya menunjukkan bahawa mereka sebenarnya yang mementingkan diri – mereka mahukan sesuatu daripada apa yang mereka sumbangan, mereka mahu jasa mereka dibalas.

Demikianlah manusia mahukan imbuhan daripada setiap apa yang mereka buat; selain itu mereka juga bergantung kepada manusia, mereka berharap manusia lain seperti pemimpin politik dapat membantu mereka, termasuklah dari segi kebendaan.

Hakikatnya, manusia tidak boleh berharap apatahlah bergantung sesama manusia. Jika pemimpin (katak lompat) tadi berkata pemimpin besar tidak dapat membantu mereka, itu adalah perkara lumrah, manusia perlu berusaha sendiri untuk hidup, tidak boleh berharap-harap sesama manusia.

Berdasarkan laporan media massa pada pilihan raya Hulu Selangor, ditunjukkan sejumlah pemimpin peringkat pertengahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti, sesetengahnya secara terbuka menyatakan ‘masuk’ Umno. Selain meninggalkan parti, mereka memdedahkan pekung parti sendiri dengan mendakwa kononnya pemimpin tertinggi tidak mempedulikan mereka.

Sebenarnya pemimpin berpaling tadah ini tidak jelas perjuangan mereka. Golongan ini tidak tahu matlamat apa yang mereka hendak capai dengan menyertai parti berkenaan. Adakah matlamat mereka untuk mendapat keredaan Allah SWT atau mereka ada agenda sendiri seperti membina kerjaya, nama, kemasyhuran di samping mengumpulkan kekayaan.

Sewajarnya pada peringkat permulaan lagi seseorang aktivis parti menetapkan matlamat. Jika matlamat mereka tepat iaitu mencari keredaan Allah SWT, mereka tidak akan goyah, mereka akan berjuang berhabis-habisan yang penamatnya mereka beroleh kemenangan atau syahid di jalan Allah. Kemenangan dimaksudkan bukanlah dilimpahi kemewahan kuasa dan harta tetapi kembali kepada-Nya dengan iman yang mantap.

Jika aktivis ini sudah mempunyai niat yang betul tetapi apabila berada di pertengahan jalan, mendapati perjuangan parti termasuk ketuanya sudah tersasar, tinggalkanlah kumpulan berkenaan secara berhemah, tidak perlulah memburuk-burukkan mereka sehingga menggunakan panggilan paling jijik dan dibuat pada detik paling cemas seperti ketika pilihan raya.

‘Lompatan’ ketika kempen pilihan raya, membayangkan banyak perkara tidak kena dan beres oleh ‘si katak’. Tentunya dengan membuat pengumuman acara ‘melompat’ di melalui media massa, orang yang berfikir dapat membayangkan hasrat ‘si katak’ – dia ini hendak merebut apa sebenarnya - kemasyhuran, pangkat atau pun harta?

Hakikatnya, ‘si katak’ hanya mendapat publisiti pada hari dia ‘melompat’ dan pada masa dia diperlukan. Kalau dia tidak diperlukan, dia akan ‘terbenam’ terus dalam kolam lumpurnya. Perhati dan amat-amati nasib ‘seekor dua katak lompat’, masa pilihan raya barulah dia keluar untuk ‘membuat bising’ (kuang-kuang) tetapi selepas itu dia dilupakan.

Tidakkah masyarakat sedar pada masa pilihan raya Hulu Selangor, tenaga dan minda ‘seekor dua katak lompat veteran’ diperlukan, jadi dia pun berbunyi ‘kuang-kuang’ sehingga menjadi tajuk utama muka depan akhbar pengampu. Kini selepas pihak berkenaan menang, ‘katak-katak’ ini diam, tidak tahulah sama ada direhatkan seketika sebelum kembali semula pada pilihan raya berikutnya atau direhatkan terus.

Ketika menonton siaran berita menunjukkan majlis ‘dua katak’ dari Perak melompat masuk Umno, seorang daripadanya berkata pemimpin tertinggi parti tidak mempedulikan orang bawahan termasuk dirinya. “Ucap terima kasih pun tak ada,” katanya.

Betullah dakwaan beliau itu, jika benar pemimpin atasan tidak pedulikan orang bawahan apa jenis pemimpin itu tetapi jika ‘si katak’ ikhlas membabitkan diri dalam parti, dia akan sedar bahawa seorang pejuang tulen tidak mengharapkan penghargaan hatta ucapan terima kasih sekalipun. Perasaan ini, insya-Allah akan muncul pada pejuang ikhlas tetapi jika tidak ikhlas, perasaan benci dan negatif akan muncul dan akhirnya akan memburukkan parti sendiri.

Jika dirasakan perjuangan sendiri sudah hebat sehingga sanggup mencerca pemimpin sendiri, fakir-fikirkanlah apa dilalui pemimpin dan bandingkan dengan diri sendiri. Jika kita hidup cukup makan saja (susah) disebabkan perjuangan kita itu (hidup susah kerana tidak dapat projek, bisnes pun tidak jalan dan ada banyak sekatan), renung-renungkanlah bahawa ada pemimpin masuk penjara, difitnah begitu hebat dan ada yang dihukum mati kerana perjuangannya itu.

Cubalah fikirkan, ada pemimpin difitnah liwat; jadi cuba bayangkan bagaimana jika kita dituduh begitu, bagaimana kita mahu menyorokkan muka ini, bagaimana kita mahu hadapi anak isteri, kaum keluarga, rakan taulan dan seterusnya. Sesungguhnya pemimpin menghadapi masalah amat berat, berkemungkinan besar masuk penjara balik, jadi apakah kita sanggup menuduh pemimpin tidak mempedulikan nasib orang bawahan? Pemimpin pun tidak tahu nasib dirinya sendiri.

Sebagai seorang Muslim, kembalilah kita menghayati kisah para anbiya terutama Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dalam perjuangan mereka. Semuanya melalui tribulasi paling hebat, ada Nabi yangdibunuh, ada digergagi, ada diusir kaumnya dan ada yang diuji berpenyakit teruk seperti Nabi Ayub.

Dalam perjuangannya, Nabi Muhammad s.a.w. ditawarkan pelbagai ganjaran hebat seperti menjadi raja, harta bertimbun dan pangkat dengan syarat beliau meninggalkan dakwah Islam. Tetapi semuanya ditolak oleh Rasulullah s.a.w. kerana perjuangan baginda bukan hendak semua itu.

Kini tanyalah dengan jujur diri kita sendiri, kita hendak apa sebenarnya daripada apa yang kita dakwa sebagai perjuangan itu; kita nakkan pangkat, kedudukan, kemashyuran (nama), harta atau apa? Jadi cerminlah diri sendiri sebelum lompat sana lompat sini dengan mulut bising ‘kuang-kuang’!

http://lanh14.blogspot.com




Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...