Oleh Salman Hamat
2010/05/01
JOHOR BAHRU: Dia bukan saja terkenal di kalangan penagih dadah, malah gadis genit perayau lorong gelap di sekitar bandar raya ini turut menjadi buruan lelaki hidung belang kerana menyediakan ‘pakej dua kali sedap’ dengan bayaran RM70 merangkumi dadah, jarum suntikan dan khidmat seks.
Ketika ditahan sepasukan anggota dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan operasi khas awal pagi semalam, gadis berusia 24 tahun berasal dari sebuah negeri di pantai timur itu mengaku membenarkan tubuhnya dijamah lelaki hidung belang selain menawarkan dadah.
Bagaikan tawaran harga runtuh, dia mengaku hanya mengenakan bayaran serendah RM70 bagi pakej berkenaan dengan alasan mahu mendapat untung lebih dan tidak hanya bergantung pada jualan dadah.
Mengikut pakej disediakan, pelanggan boleh mendapatkan bekalan dadah dan jarum suntikan serta layanan seks sebagai penambah `stim’ ketika bersama-sama khayal diulit dadah.
Pemeriksaan AADK dalam beg sandang dibawa gadis terbabit menemui 12 jarum suntikan belum digunakan yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar, tiub kosong dipercayai untuk mengisi dadah, pisau lipat serta sejumlah kondom bagi aktiviti tidak bermoral itu.
Hasil soal siasat, gadis terbabit mengaku mula terjebak aktiviti tidak bermoral itu sejak setahun lalu berikutan kesempitan wang dan tidak mempunyai pekerjaan sejak sampai di negeri ini.
Katanya, dia berhijrah dari kampung halamannya ke negeri ini dengan hasrat mencari pekerjaan dan membantu keluarga selepas terpengaruh cerita rakan mengatakan Johor lubuk rezeki.
Bagaimanapun, dia tersilap langkah selepas terjebak aktiviti penjualan dadah serta kegiatan memperdagangkan tubuh. Terdahulu, sebelum ditahan gadis terbabit yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba menyorok dalam gerai menjual kasut dengan berpura-pura menjadi pelanggan sebelum meloloskan diri.
Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota AADK, dia dicekup di Jalan Wong Ah Fook di sini pada jam 12.30 tengah malam.
Penahanan gadis itu hasil aduan orang awam yang rimas dengan kehadiran pengedar dan penagih dadah berkeliaran di kawasan itu selain risau menjadi mangsa ragut golongan terbabit.
Ketua Operasi AADK Johor, Zulhilmi Ahmat, berkata dalam operasi sama lima lagi penagih juga dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah turut ditahan di beberapa lagi lokasi di sekitar pusat bandar raya termasuk Jalan Meldrum, Jalan Dobi dan Jalan Segget.
“Ketika pemeriksaan, kami menemui tiub kosong mengisi dadah, peralatan menghisap dadah seperti jarum suntikan, sudu dan tali.
“Objektif utama operasi ialah membersihkan pusat bandar raya daripada penagih, sekali gus mengurangkan jenayah jalanan.
“Golongan ini dipercayai paling ramai terbabit melakukan jenayah untuk mendapatkan wang mudah bagi membeli dadah,” katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di lorong belakang pusat beli-belah terkemuka di Jalan Wong Ah Fook yang dipercayai dijadikan ‘port’ terbuka penagih, pasukan itu menemui pelbagai peralatan digunakan bagi melepaskan gian seperti jarum, botol diubah suai untuk menghisap dadah dan tiub kosong.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan berikutan penagih terbabit cabut lari selepas menghidu kehadiran pihak berkuasa. Hasil risikan dipercayai kawasan itu mula dikunjungi penagih bermula jam 12 tengah malam hingga 2 pagi setiap hari dan bertambah meriah pada malam minggu. Ujian air kencing terhadap semua lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 54 tahun ditahan mendapati mereka positif syabu, ganja, heroin serta morfin.
“Semua yang ditahan direman 14 hari dan dihantar ke Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Tampoi sementara menunggu ujian lanjut air kencing dijalankan di makmal sebelum pendakwaan.
“Bagaimanapun, gadis berusia 24 tahun itu dibebaskan dengan jaminan AADK dan dia diminta melaporkan diri ke pejabat kami dalam tempoh tujuh hari bagi urusan selanjutnya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah 1983,” katanya.
hmetro
Share
Kita dikurniakan akal...nak cari rezki,tp adakah perbuatan itu dikatakan rezki? tepuk dada,tanya iman.
BalasPadam