Jumaat, Mei 28, 2010

Janda tauke ketum ditahan


Kok Liang (kiri) menunjukkan air ketum yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPD Hilir Perak semalam.

TELUK INTAN – Taktik licik seorang ibu tunggal yang menjadikan rumahnya sebagai makmal untuk merebus daun ketum sejak 10 tahun lalu untuk dibekalkan kepada penduduk setempat terbongkar apabila dia diberkas di Kampung Parit 4, Chenderong Balai dekat sini semalam.

Dalam serbuan pukul 4 petang itu, polis turut menahan enam lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun yang merupakan pelanggan suspek ketika mereka sedang membeli air ketum berkenaan.

Lebih mengejutkan apabila polis yang melakukan serbuan mendapati rumah suspek berusia 51 tahun tersebut dikelilingi lebih 20 batang pokok ketum yang rimbun setinggi kira-kira 10 meter.

Selain dikelilingi hutan pokok tersebut, rumah batu tersebut seolah-olah tidak bercat dan dikemas menyebabkan ia disangka sebagai rumah terbengkalai.

Bagaimanapun, kegiatan wanita itu tidak ke mana apabila polis yang menerima maklumat telah menyerbu rumahnya pukul 4 petang semalam.

Difahamkan, ibu tunggal terbabit dikatakan tinggal bersendirian di rumah berkenaan selepas berpisah dan empat anaknya menetap bersama bekas suaminya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika diserbu, wanita itu sedang leka memasak daun ketum dan tidak menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun katanya, wanita tersebut cuba melarikan diri tetapi gagal kerana rumah tersebut telah dikepung terlebih dahulu.

“Wanita berkenaan dipercayai memasak dan membekalkan air ketum kepada penduduk setempat dan semasa serbuan dilakukan, seramai enam lelaki yang juga pelanggannya turut diberkas.

“Beberapa pelanggan yang dalam perjalanan ke rumah itu juga bertempiaran lari melalui kawasan sawah berdekatan rumah berkenaan sebaik ternampak polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini semalam.

kosmo


Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...