Jumaat, Mei 28, 2010

Pantai maksiat

Oleh Mohd Shukor Amin

2010/05/28

Masalah sosial bertambah kritikal pada sebelah malam


Gambar Hiasan
SABAK BERNAM: Benteng dan Pantai Sungai Lang, menjadi 'spot panas' kepada golongan remaja memadu asmara pada waktu siang dan mereka menjadi lebih 'ganas' pada suasana malam yang kurang diterangi lampu di sekitar kawasan itu.

Buktinya, serbuan pihak berkuasa sebelum ini pernah menghasilkan tangkapan terhadap pasangan yang leka memadu asmara, selain dikatakan membuat rakaman video aksi berahi untuk koleksi peribadi atau ditunjukkan kepada rakan.

Selain itu, kondom pelbagai warna juga turut ditinggalkan pelaku maksiat di kawasan berkenaan yang didakwa kurang penyelengga-raan dan pemantauan pihak berkuasa.

Menyedari kewujudan perbuatan sumbang di situ, penduduk tempatan turut mengambil inisiatif memantau keadaan pantai dan menegur pasangan remaja yang berada dalam keadaan syak.

Masalah sosial bertambah kritikal pada sebelah malam berikutan kemudahan lampu disediakan tidak mencukupi apabila hanya empat lampu disediakan, itupun sudah tidak lagi berfungsi.

Justeru, penduduk mahu kemudahan asas seperti lampu disediakan di sepanjang pantai itu dengan jarak sekurang-kurangnya satu lampu bagi setiap 100 meter.
Pengunjung, Ismail Mat Som, 44, dari Parit Baru, berkata masalah sosial membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah dan remaja sama ada tempatan mahupun dari luar kawasan itu perlu diberikan perhatian segera.

“Ramai datang ke sini untuk melakukan perkara tidak elok. Sepatutnya pantai ini dijadikan kawasan beriadah tetapi apa yang berlaku sebaliknya,” katanya ketika ditemui Sentral.

Leftenan Azri Hamzah, 32, berkata semak-samun di pantai itu perlu dibersihkan serta pokok perlu dicantas supaya kawasan benteng dan pantai tidak terlindung daripada pandangan.

Pada masa sama, katanya, benteng di pesisir pantai perlu dinaik taraf dan dipasang tar sebaiknya untuk mengangkat imej Pantai Sungai Lang sebagai satu kawasan rekreasi selesa.

“Keadaan ini sudah pasti secara tidak langsung memberi peluang ekonomi kepada penduduk melalui perniagaan makanan atau cenderahati,” katanya.

Penduduk, Mohd Syafiq Abu Yamin, 22, pula berkata hakisan di pantai itu bertambah teruk apabila berlaku air pasang besar kerana menghakis benteng berikutan tiada benteng batu.

Katanya, terdapat empat tempat kritikal yang perlu ditambak segera bagi mengelak air laut melimpah ke parit bersebelahan benteng ketika air pasang besar.

bharian

Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...