Thursday, 27 May 2010
Oleh Masdar Wahid
TAWAU : Antara slogan Presiden Umno, Najib Razak untuk memulihkan imej parti itu ialah ‘Umno Mampu Berubah’, namun sehingga kini parti itu terus dilihat amat akrab dengan imej rasuah, judi dan arak dan terus dilihat sebagai parti yang sukar untuk berubah dulu, kini dan selamanya.
Seorang pemuda Umno di daerah ini yang menemui erapakatan.com memberitahu, semasa pemilihan pemuda Umno yang lalu, beliau dijanjikan pelbagai imbuhan jika bosnya itu menang dalam pemilihan itu.
Menurutnya, bosnya itu akan memenuhi apa jua permintaannya kerana apa yang penting ialah memenangkan dulu dirinya.
“Semasa pemilihan itu, kedua-dua calon yang bertanding menjanjikan kami pelbagai habuan termasuklah membaiki rumah kami yang sedang usang. Malangnya, selepas menang, bukan sahaja janji itu gagal ditunaikan malah hendak belanja makan dan bersalam pun sukar terutamnya dalam majlis-majlis rasmi. Mereka hanya mengutamakan Yang Berhormat dan pemimpin atasan sedangkan kami yang mengundi beliau semasa pemilihan dipinggirkan. Apa yang kami kesalkan ialah kami hanya diperlukan jika mahu mengumpulkan orang ramai yang melibatkan majlisnya untuk berucap selepas itu kami terus dipinggirkan. Kalau begitu, katanya, parti Umno hanyalah parti lakonan dan pastinya sukar berubah samapi bila-bila,” katanya yang enggan identitinya dikenali.
Beliau turut memberitahu, bahawa Umno di negeri Sabah terutamnya yang bergelar Yang Berhormat harus dikurangkan majoritinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan mereka sedar dan turun padang menyelesaikan masalah rakyat.
Mengulas lanjut katanya, dengan majoriti yang terlalu besar membuatkan mereka lalai dan angkuh dengan jawatan yang disandangnya.
Ditanya pandangannya berhubung Pakatan Rakyat di daerah ini, beliau yang juga pimpinan pemuda menjelaskan, gabungan PAS, PKR dan DAP di daerah itu perlu bekerja dengan lebih keras untuk menang. Jika tidak katanya, PR mungkin memerlukan 10 tahun lagi di mana ketika itu golongan muda semakin ramai dan menjadi tunjang kepada kekuatan ketiga-tiga komponen parti itu.
“Pakatan ada peluang, tetapi lama lagi lagilah, mungkin 10 tahun kerana apa yang saya lihat cawangan mereka pun sukar dilihat di mana-mana kampung di daerah ini dan kalau pun ada, aktiviti mereka jarang-jarang diketahui umum,” katanya jujur.
Ketika ini, daerah Tawau, memiliki dua kerusi Parlimen dan enam kerusi Dun yang masing-masing dikuasai oleh Umno (Dun Tanjung Batu, Dun Sebatik, Dun Apas, Dun Balung dan Parlimen Kalabakan), LDP (Dun Merotai), SAPP (Parlimen Tawau) dan DAP (Dun Sri Tanjung). Beberapa hari lalu, tercetus krisis Barisan Nasional di daerah ini apabila Umno menuntut kerusi Merotai diserahkan kepada parti itu. Rekod menunjukkan, LDP ialah sekutu BN yang tertua dan lebih awal bertapak di Sabah sebelum kedatangan Umno di negeri itu.
erapakatan
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...