Jumaat, Mei 28, 2010

UMNO Menjerat Leher Sendiri ?



Ketika UMNO/BN yang mengambil nasihat Yahudi melalui APCO dimarahi kerana menyerahkan dua telaga minyak yang kaya kepada Brunei yang juga kaya minyak dan menghalalkan judi bola sepak, UMNO berkelahi dengan MIC. Perkelahian itu pula tercetus semasa kerajaan UMNO-BN menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura kononnya untuk diusahakan bersama. Anda perlu ingat bahawa seluruh pulau itu telah diserahkan Tunku kepada Lee Kuan Yew dan mereka menambahnya dengan Pulau Batu Puteh serta memberi pulau tenggelam timbul kepada Malaysia sebagai win-win situation (seperti didakwa Rais Yatim).

Gerakan Anti Samy (GAS) telah dibentuk. Vell Paari menuduh UMNO menjadi dalang untuk menjatuhkan bapanya. Muhyiddin menafikan perkara itu sekeras-kerasnya. Mahathir meminta bukti penglibatan UMNO dan menyindir Samy supaya berhenti jadi Presiden MIC. UMNO membenarkan premisnya dijadikan tempat mesyuarat GAS. Sukarlah untuk menyatakan UMNO tidak terlibat dalam hal ini.

Keberseliratan masalah yang membelenggu UMNO sekarang ini adalah hasil ketidakcerdikan pemimpinnya. Mereka sudah tiada upaya untuk membuat keputusan yang baik bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini. Terlalu banyak wang yang dibazirkan dalam 11 pilihan raya kecil pasca-PRU Ke-12 dan mungkin juga pembelian ahli-ahli politik katak menjadi puncanya.

Kita tidak tahu berapa lagi pilihan raya kecil akan diadakan sebelum tarikh 8 Mac 2011 tiba. Kesemuanya bergantung kepada kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala. Malaysia mungkin akan bankrap lebih awal daripada jangkaan Idris Jala jika ada 10 lagi pilihan raya kecil selepas ini jika teknik dan taktik yang sama digunakan oleh UMNO-BN.

UMNO sudah kehilangan taring menurut pandangan parti-parti komponen lain dalam BN. Ini merupakan satu persepsi yang menjunamkan kredibiliti UMNO yang sememangnya tidak seberapa itu. Fenomena ini ditambah dengan sikap rakyat yang menolak mereka, terutama kaum Cina. MCA, Gerakan, SUPP, LDP, dan lain-lain sudah tidak berfungsi lagi. UMNO pasti menyedari hal ini dan berasa terlalu cemas dengannya.

Dalam ketidaktentuan arah itulah UMNO melanggar perintah Allah. UMNO mengamalkan rasuah. UMNO berkawan dengan Yahudi. UMNO menghalalkan judi. UMNO menjual maruah negara. UMNO menikam kawan dari belakang. UMNO menabur wang demi mengekalkan kuasa. Demikianlah nasib pertubuhan yang tidak berlandaskan Islam dan taksub dengan semangat kebangsaan lapuk serta materialisme-sekularis.

Majoriti rakyat sebenarnya sudah hilang sabar dengan UMNO. Namun demikian, mereka masih dapat bertahan kerana menguasai media untuk mengelirukan pemikiran rakyat. Jika itulah satu-satunya alat yang ada bagi menyelamatkan UMNO-BN, Pakatan perlulah menggunakan perang saraf di segenap pelosok negara untuk memadamkan kekeliruan rakyat itu.

bilahrotan


Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...