Rabu, Jun 09, 2010

Ceramah ‘Yahudi dan Judi’ dipindah ke Stadium Selayang

GOMBAK, 8 Jun: Ceramah ‘Yahudi dan Judi’ yang melibatkan pemimpin utama Pakatan Rakyat di Kompleks Muhibah Taman Bolton, di sini, malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.

Majlis yang sepatutnya dibuat di sebuah dewan tidak dapat diadakan kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya.

Ekoran itu, beberapa orang ditahan iaitu dua anggota Unit Amal, Alfian dan Damanhuri, Ketua Pemuda Selangor, Ustaz Hasbullah dan Ketua Pemuda Gombak, Ustaz Sharhan.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Selayang.

Majlis ceramah yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Datuk Mahfuz Omar dipindahkan ke Stadium Selayang.

Turut menyampaikan ceramah ialah sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Gaza yang ditahan tentera rejim Israel iaitu Mustafa Mansor (Mapim) dan Jamuliddin Elias (Yayasan Amal) pada majlis yang dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad itu.

Walaupun tempat ceramah terpaksa dipindahkan pada malam ini juga dalam jarak lebih kurang 15 kilometer, namun sekitar 5,000 orang sudah berada di dalam stadium pada kira-kira jam 10.30 malam ini.

Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...