Isnin, Jun 14, 2010
Namewee Buat Hal Lagi...
Namewee bercadang mendapatkan dana daripada Finas untuk membuat filem pendek.
PETALING JAYA: Wee Meng Chee atau lebih dikenali dengan nama 'Namewee' tidak pernah serik mencetuskan kontroversi. Kali ini dia mencipta klip video muzik terbaru dengan mempersendakan rakyat Malaysia berkaitan demam bola sepak Piala Dunia.
Klip berkenaan kini boleh diikuti di dua laman perkongsian video popular iaitu Youtube, http://www.youtube.com/user/namewee dan di dalam blog peribadinya beberapa hari lalu.
Namewee membuat narasi mengenai bagaimana Malaysia tidak pernah melepasi kelayakan Piala Dunia dan bagaimana rakyat Malaysia terpaksa bertaruh dan menonton setiap perlawanan hanya semata-mata untuk merasai penyertaan mereka dalam acara berprestij dunia itu.
Dia turut menyanyikan lagu rap tentang ‘bookie’ haram serta isteri dan teman wanita peminat bola sepak yang merungut dipinggirkan akibat demam Piala Dunia.
Video dengan durasi empat minit itu turut memaparkan beberapa wanita dalam pakaian sukan yang menarik sedang bermain bola sepak.
Di dalam blognya, Namewee berkata, dia telah menulis 10 lagu yang membawakan perasaan berbeza bagi merasai ‘penyertaan’ Malaysia di dalam Piala Dunia dan menyeru semua untuk berusaha keras demi sukan.
Dia turut mengambil kesempatan dengan memaparkan prestasi Malaysia dalam perlawanan badminton Piala Thomas lalu dan komen pemain negara, Datuk Lee Chong Wei serta komen dan punca kegagalan itu di klip video berkenaan.
Pasukan badminton Malaysia telah ditewaskan oleh pasukan dari Jepun dan Indonesia di dalam Piala Thomas lalu.
Setakat ini, video berkenaan telah disaksikan lebih 151,000 kali dan telah menarik pelbagai komen termasuk pujian dan kritikan daripada para penonton.
Tiga tahun lalu, Anak kelahiran Muar yang berusia 27 tahun itu telah menggemparkan negara apabila mencipta klip video lagu Negaraku yang menghina lagu kebangsaan.
Dia menyanyikan lagu rap dalam bahasa Cina dengan menggunakan latar belakang lagu Negaraku.
Ekoran kejadian itu, dia disiasat beberapa kali oleh Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan di ibu pejabat Bukit Aman dan diminta untuk menterjemahkan lagu itu ke bahasa Malaysia.
Namewee juga pernah muncul dengan kontroversi lain menerusi klip video yang mengutuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam klip video menggunakan tajuk ‘Namewee F*** TNB’ yang dimuat turun di Youtube itu bermula selepas dia naik berang apabila bekalan elektrik di rumahnya asyik terputus.
Antara kontroversi lain yang dicetuskan oleh anak muda ini ialah apabila dia memberikan pandangan yang menyentuh sentimen terhadap sistem sekolah aliran Cina.
Dan di sebalik kontroversinya itu, Namewee turut dilaporkan bercadang mendapatkan dana daripada Finas untuk membuat filem pendek.
mstar
Share
macam celaka je...
BalasPadam