Ahad, Julai 25, 2010

Pasir: Khir Toyo jangan cakap besaq

Ismail Hashim


PUTRAJAYA, 25 Julai: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sewajarnya menutup mulut mengenai isu pasir kerana semakin besar beliau bercakap semakin teruk bau busuk yang dikeluarkan.

Timbalan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Suhaimi Shafie berkata, sewajarnya pemimpin Umno itu bergabung tenaga dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi sama-sama berusaha membanteras isu pasir yang telah lama berlaku di negeri itu.

Sebaliknya, tegas beliau, dengan isu pasir ini pula terdedah pergolakan yang sedang berlaku dalam Umno Selangor khususnya antara Khir dan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar ekoran wujud dua agenda berbeza meskipun isunya adalah sama iaitu pasir.

Bagaimana hendak sembunyikan pertelingkahan sesama mereka kerana masing-masing dengan pendekatan berbeza bercakap tentang isu serupa iaitu pasir dengan seorang gemar melawat tapak lombong pasir dan seorang lagi menggunakan helikopter meninjau keadaan, sinisnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan di dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam selepas lawatan ke tapak lombong di Mukim 12, Kuala Langat yang disertai sekitar 40 wakil pelbagai media di negara ini yang dibawakan oleh syarikat milik Kerajaan Selangor bagi menguruskan pengeluaran pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Suhaimi yang juga Adun Seri Muda baharu sahaja dua bulan dilantik sebagai salah seorang pengarah dalam KSSB menegaskan, beliau akan mengeluarkan semua salahlaku Khir dan rakan-rakannya secara bersiri jika pemimpin Umno Selangor itu masih lagi dengan sikapnya yang menjadikan Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri sebagai kambing hitam.

"Jika Khir masih terus bersuara dan terus menolak kami sehingga ke dinding, kami akan dedahkan satu persatu salahlaku mereka yang sebenarnya kami tidak mahu berbuat demikian tetapi jika keadaan memaksa, kami akan melakukannya.

"Kenapa pula hendak jadikan Kerajaan Selangor di bawah PR ini sebagai kambing hitam di dalam usaha mereka bertembung sesama mereka, sedangkan isu berkaitan pasir ini sudah berpuluh tahun berlaku, di mana mereka selama ini?

"Isu pasir ini telah dipolitikkan. Mereka cuba mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka selama ini kepada membesarkan isu pasir ini namun apa yang kelihatannya pergaduhan sesama mereka masih tidak dapat disembunyikan lagi," tegasnya.

Suhaimi juga mempersoalkan sikap Khir yang beria-ia sangat bercakap tentang isu pasir sedangkan perkara sama tidak dapat diselesaikan ketika beliau menjadi menteri besar sebelum tsunami politik melanda negara pada 8 Mac 2008 sedangkan PR dapat melakukannya dengan baik sepanjang dua tahun mentadbir.

Tegasnya, jika mereka masih tidak berhenti mempolitikkan isu pasir ini kononnya kerajaan negeri sekarang menyebabkan Selangor menjadi 'lubang', wartawan media akan dibawa ke Bestari Jaya, Kuala Langat yang lebih teruk untuk pendedahan kepada rakyat seluruhnya.

HD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...