Sabtu, Ogos 21, 2010
Bapa dan anak-anak dihukum kerana merogol
MUSA (kiri) bersama dua anaknya, Mahmud dan Mazlan (kanan) keluar Mahkamah Sesyen Kuching, selepas perbicaraan, semalam.
Bapa rogol anak kena 60 tahun
Dua anak lelaki turut dipenjara 36 tahun, 24 sebatan
KUCHING: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 60 tahun selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya yang kudung tangan, manakala dua anak lelakinya masing-masing dikenakan penjara 36 tahun dan 24 kali sebatan kerana kesalahan sama yang dilakukan terhadap mangsa di antara 2006 dan 2008.
Hakim Mahkamah Sesyen, Amelati Parnel mendapati bapa mangsa berusia 52 tahun bersalah atas lima tuduhan merogol dan melakukan sumbang mahram ke atas mangsa yang kini berusia 20 tahun.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan pertama yang didakwa dilakukan pada Disember 2006 ketika mangsa berusia 16 tahun, di kawasan semak berdekatan Padang Golf Petra Jaya.
“Bagi kesalahan kedua, ketiga dan keempat yang berlaku di Pejabat Tanah dan Survei, Jalan Pending; sebuah rumah di Bandar Baru Semariang dan di persimpangan lampu isyarat Semerah Padi antara Januari dan Disember 2007, hukuman penjara 20 tahun akan berjalan serentak sebaik tempoh hukuman pertama selesai.
“Bagi kesalahan kelima iaitu merogol mangsa di atas motosikal berdekatan Padang Golf Petra Jaya, pada November 2008, tertuduh juga dikenakan hukuman penjara 20 tahun bermula selepas tempoh hukuman 40 tahun bagi kesalahan pertama hingga keempat selesai,” katanya.
Amelati berkata, tertuduh kedua, 24 tahun dan tertuduh ketiga, 22, yang juga abang kepada mangsa turut didapati bersalah, masing-masing di atas dua pertuduhan merogol dan sumbang mahram.
Mereka berdua secara bersama dituduh merogol dan melakukan sumbang mahram ke atas adik kandung mereka antara Januari dan Disember 2006 serta antara Januari hingga Disember 2007 di bilik mangsa di sebuah rumah di Bandar Baru Semariang.
“Hukuman dijatuhkan selepas mengira kepentingan awam dan teladan kepada orang ramai dalam memastikan anak-anak diberi peluang untuk hidup sempurna walaupun mangsa dalam kes ini adalah seorang insan kurang upaya,” katanya.
Terdahulu, peguam Mohd Fairus Masri, yang mewakili semua tertuduh meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada mereka berikutan keluarga berkenaan kehilangan anak bongsu berusia 10 tahun yang lemas, tahun lalu selain terpaksa berhadapan pandangan negatif masyarakat.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Stella Augutine Deruce, menyifatkan kesalahan yang dilakukan semua tertuduh adalah sangat serius dan mereka wajar dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.
BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...