Khamis, Ogos 05, 2010
Isteri Aziz belum tahu kejadian sebenar
2010/08/05
SHAH ALAM: Keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Allahyarham Datuk Aziz Mohd Noh, 64, yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala bersama bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, tidak mengetahui jika terdapat hubungan lain di antara kedua-duanya.
Anak kedua Allahyarham yang juga pensyarah di Universiti Industri Selangor (Unisel), Nor Azian, 37, berkata mereka mengenali Siti Rohana sebagai bekas pembantu peribadi bapanya.
Bagaimanapun, dia sekeluarga tidak tahu sekiranya Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang itu isteri kedua Allahyarham seperti desas-desus dan spekulasi tertentu.
“Saya tidak boleh jawab soalan itu kerana tidak tahu sama ada ia benar atau tidak kerana tidak ada apa-apa bukti atau dokumen mengenainya.
“Jadi, saya minta maaf kerana tidak boleh mengesahkan atau menafikan dakwaan itu. Saya berharap semua spekulasi itu dihentikan segera,” katanya di sini, semalam.
Beliau ditemui di rumah keluarganya di Jalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Satu 9/6A, Seksyen 9 di sini.
Nor Azian berkata, kejadian yang berlaku kepada bapanya diketahui selepas menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi kelmarin sebelum bergegas ke Hospital Sungai Buloh (HSB).
Bagaimanapun, setakat semalam, mereka sekeluarga tidak memberitahu kejadian sebenar kepada ibunya, Datin Siti Fatimah Md Noor kerana khuatir penerimaan ibunya terhadap berita yang didedahkan akhbar. Difahamkan, Siti Fatimah hanya diberitahu kematiannya suaminya berpunca daripada kemalangan jalan raya.
“Pada masa ini, ibu masih terkejut dan trauma jadi kami tak nak tambahkan kerisauannya.
“Kami mohon kerjasama media supaya bagi ruang untuk kami sekeluarga, tetapi kami reda dengan dengan pemergian arwah,” katanya meminta orang ramai faham perasaan ahli keluarganya.
Nor Azian berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya pada Jumaat lalu dan tidak mengesan sebarang perubahan pelik berlaku pada bapanya.
HM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...