Khamis, Ogos 05, 2010

Mintak la bantuan Doraemon




Mungkin ‘Doraemon’ dapat menolong
Oleh - Abd Jalil Ali

‘34 GRO ditahan dalam Ops Noda’ – ini tajuk berita beberapa akhbar harian, semalam. Dilaporkan antaranya penangkapan 34 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) rakyat China dalam satu serbuan polis ke atas sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang.

Untuk lebih menarik, disebut juga perihal ada antara GRO cuba menyorok di sebalik timbunan kertas upacara keagamaan. Dan, tentu sekali disiarkan gambar wanita dan gadis negara asing itu dalam pakaian menjolok mata dengan betis, paha, lengan dan ketiak yang terdedah putih melepak.

Sebenarnya tajuk dan berita-berita seperti ini disiarkan oleh akhbar dan TV kita hampir setiap hari, dan menjadi menu yang menarik pembaca dan penonton. Tidak sahaja di Pulau Pinang, serbuan ke atas wanita dan gadis ‘penghibur’ ini dilakukan juga di negeri-negeri lain.

Oleh sebab selalu sangat disiarkan media, timbul persepsi dalam kalangan umum bahawa pihak berkuasa kita – Polis, Imigresen, Majlis Tempatan, Pejabat Agama – seolah-olah tidak ada kerja, selain menyerbu dan menangkap wanita dan gadis pekerja seks dari negara luar. Apakah tidak ada tugas lain untuk pegawai dan kakitangan penguat kuasa ini?

Saya harap selepas ini pegawai tidak lagi menumpukan perhatian terhadap tugas-tugas di pusat hiburan @ tempat-tempat maksiat. Hakikatnya ialah kerajaan telah membatalkan kemudahan visa sewaktu ketibaan (VOA) yang sebelum ini diberikan kepada pelancong asing daripada beberapa buah negara.

Ternyata pelaksanaan VOA selama ini sesuatu yang silap. Seperti yang diakui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah membatalkan VOA adalah bagi mengelakkan penyalahgunaan visa tersebut dalam kalangan segelintir pihak yang memasuki negara ini.

Kalau dilihat kepada angka, nyata sekali bahawa mereka yang menyalahgunakan VOA sebenarnya bukan ‘segelintir’ seperti dinyatakan. Sehingga tahun 2009 jumlah warga asing yang tinggal lebih masa dengan menggunakan VOA seramai 75,462 orang atau 28 peratus daripada 271,391 pemegang visa tersebut kebanyakannya dari India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan China.

Tidak lama dulu Menteri Dalam Negeri Datuk, Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut apabila mendapat tahu ada kira-kira 40,000 pelawat menggunakan VOA, ‘hilang’ di negara ini. Pasti kini jumlah yang hilang itu semakin meningkat. Seperti yang dibuktikan dalam laporan-laporan media, antara tempat pelawat itu menghilangkan diri ialah di pusat-pusat hiburan, termasuk di sekian banyak hotel yang menawarkan khidmat seks.

Sekiranya awal-awal lagi VOA dibatalkan, kita mungkin dapat mengurangkan bilangan pelawat asing yang ghaib di bumi kita. Pada saya mereka tidak ghaib, sebaliknya berada dengan selesa di sektor perladangan, pembinaan, malah di hadapan masa kita sebagai tukang kasut, pencuci di pinggan di restoran dan gerak.

Agaknya sebab tumpuan kita sekarang hanya di hotel, pusat hiburan dan rumah urut, maka berpuluh-puluh ribu yang hilang itu masih tidak dapat dikesan. Jangan terkejut sekiranya ada di antara mereka yang hilang itu akan singgah ke rumah kita sebagai tetamu tidak diundang sehari dua ini. Sebenarnya pelaksanaan VOA adalah salah satu faktor meningkatnya jenayah di tempat kita.

Visa mudah itu mula diperkenalkan pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 sebagai satu mekanisme menggalakkan kedatangan pelancong asing ke negara ini. Matlamatnya ialah untuk meningkatkan lagi pertukaran asing menerusi pelancong asing yang datang.

Tetapi kemudian disedari bahawa pelawat menggunakan VOA adalah mereka yang tidak berduit. Mereka datang ke negara ini memang dengan niat untuk mencari rezeki, bukan untuk menabur duit dalam produk-produk pelancongan. Mereka pokai, apa yang hendak kita harapkan dari orang pokai. Mereka tidak memberi, sebaliknya merampas hak penduduk tempatan.

Entah mengapa kita mengambil masa terlalu lama – hingga tiga empat tahun – untuk membatalkan VOA. Mujurlah, akhirnya kerajaan membatalkan VOA. Kalau tidak dalam masa beberapa tahun lagi negara kita pasti akan dipenuhi orang-orang hilang yang kemudiannya akan menjadi pendatang asing tanpa izin, atau panggilan manjanya ‘Pati’.

Sebagaimana yang diketahui Pati sekarang sudah membanjiri seluruh pelosok negara, tidak kira di kampung mahu pun di bandar. Di mana-mana ada Pati. Kita bagaikan hilang punca untuk memerangi kumpulan pendatang ini. Kita tangkap 10 orang yang masuk baru 20 orang. Entah ilmu apa yang mereka gunakan, pintu masuk ke negara ini selalu boleh dibolosi. Ini bukan satu rahsia lagi.

Sementara yang bolos masuk bagaikan sudah di luar kawalan, yang ditahan di hadapan mata pun boleh bolos juga. Ahad lalu 20 orang tahanan warga Afghanistan berjaya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ini kejadian kedua berlaku di situ setelah kejadian pertama hanya beberapa bulan lalu apabila 12 rakyat rakyat Afghanistan dan empat rakyat Myanmar, berjaya melarikan diri.

Pelik. Apakah depot tahanan kita diperbuat dari buluh atau kertas menyebabkan ia mudah dibolosi? Saya malas memikirkan bagaimana tahanan tersebut boleh bolos. Untuk merehatkan minda saya membuat andaian bahawa warga Afghanistan itu menggunakan ilmu pukau tahap tinggi sehingga semua yang bertugas di situ pada hari berkenaan terlena.

Tetapi, apa peliknya? Semua masih ingat dua buah enjin pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pun boleh dicuri orang walaupun dikawal ketat oleh tentera yang bersenjata. Maka saya cadangkan kita mendapatkan khidmat ‘Doraemon’ atau ‘Superman’ untuk menangkap semula 20 tahanan tersebut. Dua hero ini pasti tidak boleh dipukau!

SH


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...