Isnin, Ogos 23, 2010

Isteri lari ikut bomoh


TOKAI – Apalah erti Aidilfitri yang bakal tiba jika isteri tiada di sisi. Ditambah pula apabila mengetahui wanita yang dikasihi itu berubah hati. Bukankah tempat seorang isteri itu sebaik-baiknya di sisi suami?

Begitulah peritnya nasib seorang suami yang merayu agar isterinya pulang ke pangkuannya di Kampung Alor Ali Mukim Bukit Raya, di sini.

Mohd Tarmizi Adam, 35, mencari isterinya Nor Asiah Muhammad, 23, yang keluar rumah sejak 15 Jun lalu. Sehingga kini isterinya itu masih tidak pulang dan gagal dihubungi.

Menurutnya, isterinya berubah dan keluar rumah apabila dia membawa kakaknya mendapatkan rawatan dengan seorang bomoh di Kampung Kuala Sungai Alor Setar.

“Sebelum mengenali bomoh itu, hubungan saya dan isteri baik dan bahagia serta tidak pernah berlaku perselisihan faham di antara kami berdua.

“Memandangkan kami baru sahaja berkahwin hampir dua tahun, namun sejak mengenali bomoh itu, dia banyak berubah dan benci pada saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.

Mohd Tarmizi mendakwa, perubahan dilihat begitu ketara sehinggakan isterinya itu tidak pernah meminta izin daripadanya untuk keluar dari rumah.

“Bomoh itu berusia dalam lingkungan 70 tahun. Saya hairan, dengan cepat isteri saya terpikat dengan bomoh yang usianya sudah lanjut itu.

“Perubahan pada dirinya jelas kelihatan, dan beberapa hari selepas itu dia bertindak membawa keluar semua baju daripada rumah tanpa memberitahu apa-apa kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Tarmizi menerima surat daripada Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar memaklumkan bahawa isterinya itu menuntut cerai.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, saya terlalu menyayangi dirinya dan berharap agar dia pulang,” katanya.

Dia dimaklumkan penduduk berdekatan, bahawa isterinya sering dilihat keluar bersama bomoh itu ke pekan-pekan sekitar Alor Setar. Berikutan masalah berkenaan, dia sudah pun membuat aduan kepada polis sebanyak dua kali.

SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...