KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Abdul Malik Kassim berkata siasatan awal mendapati tiada perkara sebegitu berlaku sebagaimana didakwa oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam.
“Ini kerana teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak pernah menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan negeri dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut,” kata Abdul Malik dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Malah, peraturan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dengan jelas menyebut jika terdapat pentadbiran masjid ingin menjemput para khatib jemputan, mereka perlu mendapat kelulusan jabatan itu terlebih dahulu sebelum dibenarkan membaca khutbah. “Saya yakin selepas gagal memainkan isu perkauman sempit, bagi menggambarkan kononnya kerajaan negeri menindas bangsa Melayu dan agama Islam, pihak-pihak tertentu sedang mencuba untuk mensabotaj kerajaan negeri melalui isu ini pula,” katanya.
Semalam Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Lim dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Ahmad Zahid berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Beliau berkata tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.
Kata beliau, tindakan terdesak ini bertujuan untuk melaga-lagakan hubungan baik pimpinan Pakatan Rakyat, dengan pihak istana seterusnya bagi menimbulkan kemarahan orang Melayu sepertimana yang berlaku di Johor dalam isu kain rentang.
Dalam kenyataannya, Abdul Malik berkata, selepas dua tahun mentadbir Pulau Pinang, kerajaan negeri telah membuktikan perkembangan agama Islam mendapat keutamaan.
“Ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.
Peruntukan untuk pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam telah ditambah sebanyak 100 peratus, daripada RM12.5 juta pada 2008, RM20.5 juta tahun lalu dan bertambah kepada RM24.3 juta tahun ini.
Begitu juga buat julung kalinya bermula tahun 2009 kerajaan negeri memberikan sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM231,000 setiap tahun kepada 206 buah masjid dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM1.5 juta pada 2009 dan meningkat RM1.75 juta pada 2010.
“Bahkan, hasil daripada bantuan itu, Madrasah Al-Aminiah Permatang Pauh berjaya mewujudkan sebuah makmal sains yang pertama di kalangan SAR di negeri ini.
“Program-program agama yang julung kali diadakan seperti sambutan bulan al-Quran, anugerah huffaz dan istimak hufaz sejak diperkenalkan pada 2008 mendapat sambutan dan peningkatan yang memberangsangkan,” katanya.
Abdul Malik menambah, keprihatian Ketua Menteri untuk hadir pada majlis-majlis agama Islam, umpamanya sumbangan Ihya Ramadan yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Maulidur Rasul, serta menghadiri dan menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid di Pulau Pinang dicemburui pihak tertentu.
Katanya, ini kerana perkara sedemikian tidak pernah dilakukan oleh Ketua Menteri sebelum ini.
“Kelainan dan kemesraan inilah yang mengusarkan pihak tertentu yang terpaksa bergantung kepada talian hayat melalui isu perkauman sempit bagi menarik semula sokongan rakyat, khususnya orang Melayu .
“Namun, kita yakin majoriti rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah sebegini,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, cabaran yang diterima tidak akan membantut dan melemahkan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memartabatkan agama Islam di negeri ini.
TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...