Jumaat, Ogos 06, 2010

Pemandu van sekolah didakwa rogol murid tahun tiga, anak saudara

2010/08/05


PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol seorang murid perempuan berusia sembilan tahun dan anak saudaranya sendiri.

Selain rogol, V Tiagarajan, 51, turut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret iaitu merangsang anak saudaranya melakukan perbuatan lucah melampau.

Bagaimanapun, Tiagarajan yang diwakili peguam Lim Sha Lee, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan mahkamah menetapkan 7 September depan untuk menyebut sebutan semula semua kes terhadapnya.

Bagi kes merogol, Tiagarajan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan.

Dalam kes pertama, dia didakwa merogol seorang pelajar Tahun Tiga dalam van sekolah yang dipandunya di Jalan Othman di sini pada 26 Julai lalu.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Tiagarajan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, beliau turut mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap Tiagarajan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan serta dilarang mendekati atau mengganggu mangsa sehingga perbicaraan kes itu selesai.
Bagi kesalahan kedua, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya yang berusia sembilan tahun ketika kejadian, di rumahnya di Taman Medan di sini pada 2009.

Bagaimanapun, dalam kes ini, Hakim Balqis Aini Mohd Ali, tidak membenarkan Tiagarajan diikat jamin memandangkan mangsa tinggal serumah dengannya.

Beliau berkata, tertuduh hanya boleh diikat jamin selepas membuktikan dia telah berpindah ke rumah lain dengan mengemukakan alamat rumah baru melalui bil air dan elektrik kepada mahkamah, apabila kes itu disebut semula.

Bagi kedua-dua kes rogol, Tiagarajan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret, dia didakwa merangsang anak saudaranya untuk melakukan perbuatan lucah melampau di rumahnya pada 2009, mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kesemua pertuduhan terhadap Tiagarajan.

"Pihak pendakwaan khuatir, jika diikat jamin, tertuduh akan mengganggu dua mangsa itu yang salah seorang daripadanya adalah anak saudaranya yang tinggal bersamanya.

"Lagipun kesalahan yang dilakukan amat serius dengan tiga tuduhan membabitkan kanak-kanak berusia sembilan tahun," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...