Ahad, September 05, 2010

Fitnah Senjata Usang Umno Cetuskan Permusuhan Agama



GEORGETOWN 3 Sept - Tindakan cybertrooper Umno mengubah suai gambar yang menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyembelih lembu korban bukan sahaja dianggap biadab keterlaluan malah sengaja dirancang dengan motif untuk mencetus sentimen kaum dan agama selain mencemar kesucian bulan Ramadan Al Mubarak.
Sambil melahirkan rasa kesal terhadap perbuatan tidak bermoral itu, Exco Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman berkata Umno-Baridsan Nasional sudah ketandusan idea politik dan cuba memalingkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka.
Malah tindakan Umno-BN terus giat melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah dengan tujuan memburukan imej PAS dan Pakatan Rakyat dalam bulan Ramadhan walaupun umat Islam di ajak untuk membuat amalan dan kebaikan pada bulan ini yang mulia ini.
“Kita lihat kebelakangan ini, mereka (Umno-BN) cuba membawa pelbagai isu dalam usaha memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan tujuan menyemai perasaan benci rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
“Walaupun pelbagai cubaan dilakukan untuk menjatuhkan maruah kepimpinan kerajaan negeri namun saya percaya rakyat mampu menilai siapa di pihak yang benar dan saya yakin rakyat masih teguh bersama kami,” kata Mohd Faruk setelah mengiringi Ketua Pemuda Sosialis DAP Negeri, Wei Eik membuat laporan polis petang semalam di Balai Polis Jalan Pattani terhadap tindakan cybertrooper Umno tersebut.
Beliau percaya perbuatan menyebarkan fitnah dan memburuk-burukan kerajaan negeri oleh Umno-BN tidak akan terhenti di sini dan pihaknya bersedia menghadapi sebarang usaha jahat parti itu di masa depan.
Cybertrooper Umno yang mengunakan nama samaran “PAS Beruk” menyebarkan gambar bertindih yang telah diubahsuai kononnya Guan Eng sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam dengan komen “Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP?”
Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Negeri, Ng Wei Eik berkata pihak polis harus menyiasat secara terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang sengaja menaikkan api kemarahan masyarakat Islam dan menimbulkan ketegangan agama.
Wei Eik berkata, Ketua Menteri sememangnya seorang yang prihatin dan mesra dengan semua lapisan kaum malah pada bulan Ramadhan ini, jadualnya begitu padat dengan pelbagai majlis berbuka puasa.
Namun begitu, beliau berkata, Guan Eng masih lagi tahu batas serta perkara yang dibenarkan dan perkara yang ditegah dalam majlis keagamaan.
“Tuduhan dan tohmahan yang dilakukan mereka semuanya tidak berasas. Mereka nampaknya beriya-iya mahu memburukkan kepimpinan kerajaan negeri. Selepas isu kononnya kerajaan tidak mengizinkan peniaga beroperasi di aras tiga Komtar, kini mereka bawa pula isu nama Ketua Menteri dalam doa khutbah solat Jumaat dan terkini mereka sengaja membuat gambar yang mahu menaikan kemarahan orang Melayu terhadap beliau.
“Mereka sudah semakin melampau kerana dengan sewenang-wenangnya memainkan isu yang sangat sensitif ini. Ini berbahaya kerana ia boleh memecah belahkan kaum serta keamanan yang lama dikecapi negara,” kata beliau.

SK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...