Oleh: Faizal Riduan
Tajuk tanpa prangka ini bukan datang dari saya tetapi saya ambil dari kenyataan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya sendiri, “Orang yang berani berfatwa adalah orang yang berani terjun ke dalam api neraka” dari kolum Bicara Mufti di dalam majalah Milenia Muslim edisi Oktober 2009, edisi yang sama memberikan kemenangan untuk dua tahun berturut dalam anugerah berprestij kebangsaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2010 bagi kategori Perkhidmatan Awam Cemerlang. Jika benar dakwa Dr Juanda majalah ini dibiayai oleh sebuah agensi agama kerajaan persekutuan maka kredit lebih berganda wajar diberikan kerana untuk pertama kali majalah ‘kerajaan’ boleh mengalahkan bukan sahaja majalah tetapi akhbar ‘swasta’ yang lain.
Saya asalnya lebih suka untuk mengambil sikap al-tawaqquf iaitu berdiam diri dari pertikaian dua pihak orang-orang tua agama. Apatahlagi saya bukanlah ahli dalam bidang Fiqh. Tidak perlu menjadi ‘nasi tambah’ dan cukup sekadar menjadi ‘beras di tepi gantang’, masuknya tak bertambah, buangnya tak berkurang.
Sejujurnya sebagai orang muda saya suka meraikan keberanian bertindak balas mufti berusia 38 tahun yang muda ini sama dengan mufti sebelumnya iaitu Dr Mohamad Asri Zainal Abidin. Umur yang hampir sama dengan Rasulullah SAW ketika diangkat menjadi nabi dan rasul. Saya teringat sosok pemuda yang berani iaitu Saidina Ali Abi Talib yang sekebetulan meninggal dunia pada bulan Ramadan. Tidak salah rasanya saya mengaitkan nama salah seorang dari 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin Baginda SAW sebagai ahli syurga. Tetapi barang jangan dilupa dari ahli syurga inilah juga munculnya kumpulan Khawarij dan Syiah apabila pandangan melampau mereka untuk menjadi lebih ‘Ali dari Ali’. Mudahnya idola yang terbaik sekalipun bisa pegangan amalannya disalah tafsir oleh pengikutnya sendiri. Dan inilah yang menimpa juga kepada Muhammad bin Abdul Wahab yang dikatakan pengasas Wahabi.
Saidina Ali seorang pahlawan gagah yang boleh berhadap dengan musuh terhebat secara berdepan satu lawan satu bukan dengan muslihat dan tipu helah sebagaimana beliau diserang hendap dari belakang ketika dalam solatnya. Di dalam satu perlawanan ketika Saidina Ali nyaris dapat membunuh musuhnya seorang Yahudi tetapi baliau tidak meneruskan tindakannya apabila mukanya diludah oleh si Yahudi itu tadi. Saidina Ali bimbang niatnya berjihad bukan lagi kerana Allah SWT sebaliknya kerana nafsu amarahnya itu. Mungkin di sini terdapat perbezaan yang ketara dengan tindakan Mufti Perlis yang ‘terlebih lajak dari laju’ dan kemudian bertukar dari fitrah menjadi fitnah apabila menuduh sebuah majalah dakwah Milenia Muslim sebagai agen agensi agama kerajaan persekutuan untuk menyerang kedaulatan sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia.
Ironisnya tidak sampai setahun sebelumnya beliau sanggup pula ditemubual oleh majalah yang sama untuk empat muka surat dengan perbezaan hanya selang enam muka surat dari kolum Kembara Minda yang diisi oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ketika itu Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Tiada pula kedengaran majalah tersebut ditohmah sebagai agen Wahabi atau agen negeri Perlis untuk memecah-belahkan keharmonian amalan mazhab Syafie di Malaysia?
Peringatan Saidina Ali terhadap golongan Khawarij yang memanipulasikan slogan agama dengan hujahnya, “Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” mungkin boleh dibaca secara terbalik iaitu “Perkataan yang batil, tetapi bertujuan benar” jika saya masih mahu berbaik sangka dengan kenyataan Dr Juanda ini. Jangan pula selepas ini saya didakwa-dakwi sebagai penyokong Syiah sebagaimana dicop ke atas dahi Faisal Tehrani. Kami mungkin berkongsi nama yang sama tetapi di dalam berpandangan kami berhak untuk berbeda.
Terdahulu saya cuba berlaku adil dengan menganggap pendapat mufti mungkin terkhilaf kerana beliau bukan pembaca tegar Milenia Muslim kerana jika Dr Juanda hanya membaca dua keluaran majalah tersebut sahaja iaitu bulan Oktober 2009 yang mengeluarkan temubualnya dan terbaru Ogos 2010 yang memuatkan tulisan kontroversi kolumnis Datuk Nakhaie, beliau tentunya boleh membaca persamaan maklumat penerbitan majalah yang diterbitkan oleh MMP Communications Sdn Bhd dan perubahan pada gugurnya ‘dengan kerjasama’ YADIM. Bahkan Datuk Nakhaie yang masih menjadi kolumnis, kini telah pun menjadi mantan Yang Dipertua YADIM. Dari sudut formaliti jika ada sekali pun, hubungan rasmi tersebut sudah berakhir.
Sungguhpun begitu disebalik ‘helaian’ majalah sebenarnya sejak dahulu lagi hubungan Milenia Muslim bersama YADIM bukan sepertimana hubungan majalah Visi bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) atau majalah Cahaya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak secara langsung sebagai penerbit sekaligus pembiaya dana. Sebaliknya kerjasama dua agensi berkenaan lebih kepada YADIM sebagai pelanggan dengan membeli secara tetap dan bukan melabur sebagaimana pemegang saham. MMP Communication adalah penerbit de facto sejak dahulu lagi tetapi menggunakan kerjasama permit yang diperolehi oleh YADIM. Adapun pemberian majalah percuma di masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan juga institut-institut pengajian tinggi digerakkan oleh program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (baca dakwah) oleh syarikat korporat termasuk sumbangan penerbitnya sendiri. Ia langsung tidak dibiayai oleh wang kerajaan persekutuan. Wajarkah kerajaan persekutuan mendapat pahala percuma atas usaha dakwah yang digerakkan oleh pihak swasta? Atau bolehkah dosa (jika ada) tulisan Datuk Nakhaie itu dipindah bahu kepada sebuah agensi agama kerajaan persekutuan?
Begitu juga dengan tindakan Dr Juanda membesarkan skala konflik yang asalnya adalah masalah pegangan peribadi sehingga melibatkan negeri dan kini negara menjadi galang ganti. Agak lelucon untuk membaca hujah doktrin kenegerian dan persekutuan kenegaraan serta hubungkaitnya dengan DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis sebagai Ketua Agama Islam sementara dalam masa yang sama mantan Mufti Perlis, Dr Asri sendiri berhadapan dengan tuduhan di mahkamah mengajar tanpa tauliah dan izin dari DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri. Malah syor campurtangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi pelaksana urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu oleh Dr Juanda pada 2 November 2009 jelas kontras dengan pendapatnya terbaru ini. Nampaknya seorang mufti boleh mempunyai dua pandangan yang berbeza untuk satu latar kes yang hampir sama.
Sungguhpun begitu, saya mempertahankan negeri Perlis dari ketidak-adilan untuk dilabel tanda sebagai Wahabi walau ia mungkin mencabar status qua ahli Sunnah wal Jamaah tetapi bisikkan suara pencerahan tidak sewajarnya dipekakkan dengan kekerasan terjahan suara ijmak jemaah dan ego kekuasaan alim ulama ‘tyranny of the majority’. Mungkin dalam beberapa perkara ada asas persamaan tetapi belum tentu ianya serupa sebagaimana idea tajdid yang diperjuangkan dalam Tema Tajdid, Astora Jabat dengan slogan “Mencabar minda muslim pasca moden” dan Minda Tajdid, Dr Asri dengan tema “Mengemudi bahtera perubahan minda”. Hakikatnya pandangan tajdid dari kacamata Astora Jabat dan Dr Asri secara sekali baca seakan sama tetapi tafsiran mereka saling kontra sehingga pernah bertentang empat mata di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Begitu juga dengan Datuk Nakhaie dan Dr Juanda nampak berbeza tetapi berkongsi pegangan yang sama dengan penggunaan kekerasan cengkaman kuasa dengan tangan untuk menutup mulut dalam dialog mulut ke mulut. Ketika Datuk Nakhaie mengesyorkan ISA kepada penganggu keharmoniam amalan beragama Islam di negara ini, jawapan balas balik Dr Juanda mengaitkan kewajaran Akta Hasutan kepada tulisan beliau. Saya teringat bagaimana lemahnya budaya berdialog sehingga mengadu kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk ‘memadamkan’ tulisan kontroversi kolumnis Bicara Agama, Mingguan Malaysia dan editor Al-Islam, Astora Jabat menjadi pilihan utama sedang banyak inisiatif dialog boleh mematahkan hujah. Mungkin kerana sikap anti-ofensif dan anti-defensif, sebaliknya alim ulama terus nikmat di syurga pertapaan tanpa sedar golongan jahil yang gagal didakwahi menjadi seperti Akhbar Ali apabila menyerang alim ulama yang gagal berhujah dengan akal sihat sebagai golongan berserban ketat yang kekurangan oksigen di dalam kepala.
Kita perlu menerima kenyataan bahawa alim ulama kita masih gagal mengambil hikmah dari perbezaan pendapat antara mazhab dan tanpa sedar telah menyempitkan tafsiran Surah Hud, ayat 118-119, “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”
Sebagai umat Islam kita patut belajar berbaik sangka dan berbalas baik walau dihantar dengan kejahatan apatahlagi kepada alim ulama yang lebih dahulu mengenal maksud Surah Fussilat ayat 34, “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara engkau dan dia ada permusuhan (berubah) seolah-olah teman yang sangat setia.”
Bagi yang ingin menjadi mujtahid, tidak salah untuk berguru dengan Muhammad bin Abdul Wahab yang secara berterus terang berani mengaku sebagai seorang mujtahid dengan tetap pendirian, “Bahawa mazhab kami dalam Usuluddin (Tauhid) adalah mazhab ahli Sunnah wal Jamaah, dan cara (sistem) pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah fikah kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mengingkari seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab luar dari empat mazhab seperti mazhab Rafidah, Zaidiyah, Imamiyyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaklid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat tersebut.”
Sungguh begitu, beliau masih merendah diri dengan menafikan dirinya sebagai mujtahid mutlak sehingga terlepas pegang menjadi bebas daripada mana-mana mazhab, “Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwa dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah furuk yang kalau kami lihat di sana ada nash yang jelas, baik dari Al-Quran mahupun sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya atau yang mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegang pula oleh seorang imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti.”
Kepada yang mengakui dirinya adalah ahli Sunnah wal Jamaah dari mazhab Syafie ada baiknya untuk berlapang dada sebagaimana pesan Imam Syafie, “Pendapatku adalah benar, tetapi berkemungkinan salah dan pendapat orang lain daripada ku adalah salah tetapi berkemungkinan benar.” Malah Syeikh Muhammad Ali al-Sayis menukilkan dalam kitabnya, “Metode Imam Ahmad dalam berijtihad sama dengan manhaj Imam Syafie kerana beliau belajar daripadanya.”
Nah sekarang persoalan Wahabi saya tinggalkan kepada alim ulama. Yang menjadi tanda soal ialah hukum ‘fatwa’ Mufti Perlis terhadap majalah dakwah Milenia Muslim. Mufti juga adalah manusia biasa tidak terlepas dari khilaf salah tetapi jika benar lajak lanjurnya perlu pula berani tangani seperti Imam Abu Hassan Ashaari yang apabila menyedari dirinya tersesat kepada fahaman Muktazilah, beliau membuat pengakuan mengistiharkan dirinya kembali kepada Islam di atas mimbar sambil membuang jubahnya.
Saya yang kurang arif bahkan naif agama sekadar tahu sesiapa yang membuat fitnah walau keluar dari mulut seorang alim ulama sebenarnya telah meletakkan sebelah kakinya melepasi garisan ke neraka. Mufti bukanlah Si Luncai, tidak begitu Sahibul Samah Mufti Perlis?
faizalriduan@gmail.com
www.faizalriduan.blogspot.com
TK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...