Rabu, September 29, 2010
Lima terbunuh, tiga cedera di selatan Thai
Ahli keselamatan Thai memeriksa tempat kejadian di mana lima orang dibunuh di Pattani. — Foto Reuters
PATTANI, 29 Sept — Lima terbunuh dan tiga cedera parah termasuk dua kanak-kanak apabila empat lelaki bersenjata yang memakai uniform polis melepaskan tembakan di Kampung Karet, daerah Saiburi di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Saiburi, Kol. Amnuai Di berkata kejadian berlaku apabila seorang petani Matfairu Kayunit, 31, sedang berunding untuk menjual buah dokong bersama tiga pemborong di rumahnya kira-kira 7 malam.
Matfairu terbunuh bersama pemborong berkenaan yang dikenali sebagai Anong Photoklom, 37, (wanita), Nai Sriwichai Wiset, 31, dan Nai Puawanart Muangmaithai, 31. Seorang penduduk kampung Nai Mazran Yusuf, 19, turut terbunuh.
Amnuai berkata Anong meninggal di tempat kejadian sementara yang lain di hospital.
Beliau berkata yang cedera dikenali sebagai Nai Pornchai Intasri, 25, dipercayai pekerja salah seorang pemborong berkenaan, Nuraini Cheteh, 10, yang ditembak di kaki kirinya dan adiknya Abdulbasiz Cheteh, 7, yang ditembak di bahu kiri dan muka.
Mereka yang cedera dirawat di Hospital Pattani. Menurut Amnuai, penyerang turut memakai jaket kalis peluru yang terus melepaskan tembakan sebaik turun dari sebuah pikup. Beliau percayai serangan dilakukan puak pemisah yang mahu menakutkan pemborong dokong dari luar daerah itu.
Buah dokong di daerah ini dijual kurang daripada 10 Baht (kira-kira RM1) sekilo sementara di Bangkok dijual 40 Baht (kira-kira RM4) sekilo.
Dalam satu kejadian berasingan, seorang anggota tentera tercedera apabila sebutir bom buatan sendiri meletup di Kampung Telubok di sini 7.45 malam semalam.
Lebih 4,000 terbunuh di selatan Thai yang dikatakan berpunca daripada perbuatan puak pemisah yang mahu menuntut kemerdekaan bagi wilayah Narathiwat, Pattani and Yala sejak enam tahun lalu. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...