Rabu, September 29, 2010

Star-Utusan Malaysia: Mana Satu Betul?

Oleh Wira Arjuna


Dalam keghairahan menyerang proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat, akhbar Star dan Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang bukan sahaja tidak disokong fakta, tetapi bercanggah antara satu sama lain.
Dalam laporan muka depannya hari ini, The Star menyifatkan kekalahan pemimpin pada peringkat cabang seperti Elizabeth Wong (Petaling Jaya Utara), Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub (Pasir Salak) dan Kamarul Baharin Abbas (Teluk Kemang) adalah kerana mereka bukan “orang Anwar Ibrahim atau Azmin Ali.”
Utusan Malaysia (mukasurat 3) juga merujuk kepada kekalahan tokoh-tokoh sama tetapi menyifatkan kesemua mereka sebagai “orang Anwar dan Azmin.” Menurut Utusan, kekalahan mereka kononnya adalah bukti Anwar dan Azmin akan menghadapi masalah pada pemilihan peringkat nasional November depan.
Mana satu yang betul? Mungkin sudah sampai masanya untuk akhbar-akhbar arus perdana mengadakan mesyuarat penyelarasan setiap hari untuk memastikan laporan yang diputar belit oleh mereka sekurang-kurangnya dibuat atas premis yang sama sebelum menjajanya kepada rakyat.
Biarlah akhbar-akhbar berkenaan berpegang kepada slogan 1Malaysia, 1Fitnah dan mengelak daripada mengadakan dua tiga versi berlainan mengenai fitnah yang sama.
Selain Utusan dan The Star, akhbar-akhbar lain seperti Berita Harian dan New Straits Times turut menyerang PKR atas kekecohan yang berlaku di tujuh cabang yang mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan setakat ini.
Kesemua mereka mendakwa kekecohan itu mencerminkan sistem satu ahli satu undi PKR gagal, malah memetik Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai berkata kekecohan itu bukti PKR tidak ada kemampuan untuk memerintah.
Fakta “kecil” yang sengaja dilupakan oleh Muhyiddin ialah kekecohan berlaku hanya pada tujuh Cabang. 159 Cabang mengadakan mesyuarat dan pemilihan tanpa sebarang masalah dan dalam suasana yang hanya menyuburkan demokrasi tulen dalam PKR.
Mungkinkah Muhyiddin berkata demikian kerana beliau, seperti dalam kes gurubesar rasis baru-baru ini, juga “tidak ada kuasa” untuk mengetahui fakta-fakta relevan sebelum membuka mulutnya?
Atau beliau mempunyai apa yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai “selective amnesia” iaitu hilang memori secara pilihan?.
Pimpinan PKR tidak menafikan wujudnya masalah logistik dan keselamatan di segelintir Cabang yang memberikan kesempatan kepada samseng upahan dan bekas ahli parti itu menimbulkan kekacauan.
Kemungkinan anasir-anasir ini dibiayai oleh pihak tertentu supaya tindakan mereka dirakam oleh jurugambar dan jurukamera media arus perdana demi memperlekehkan proses transformasi PKR ke demokrasi tulen, tidak boleh ditolak.
Ini kerana kejayaan PKR melaksanakan pemilihan satu ahli satu undi akan menandakan satu lagi kejayaan parti itu dalam hasrat menyuburkan proses demokrasi dalam parti dan seterusnya mengembangkan hak itu kepada rakyat umumnya.
Seperkara lucu mengenai dakwaan dalam laporan-laporan media arus perdana, adalah kononnya Anwar Ibrahim dan Azmin Ali sedang menentukan calon mana menang pada peringkat Cabang.
Cukup untuk mengatakan bahawa dengan keahlian PKR mencecah hampir 500,000, adalah tidak waras untuk sesiapa mendakwa kedua-dua orang itu mempunyai keupayaan begitu besar untuk mempengaruhi minda ahli biasa dalam memilih pemimpin mereka.
Mungkinkah media arus perdana masih berfikir PKR sama seperti Umno, di mana pemimpin hanya perlu membeli undi kira-kira 2,000 perwakilan untuk diangkat sebagai ahli Majlis Tertinggi?
Sekali lagi, biarlah fitnah yang “dijual” oleh akhbar dan stesen televisyen arus perdana kepada pembaca dan penonton mempunyai unsur-unsur yang tidak terlalu karut, sehingga sukar untuk sesiapa menerimanya. Jangan asyik syok sendiri sahaja.

SK


1 ulasan:

  1. yang tersiratnya mereka( wartawan media pro BN) ini sebenarnya nak menghancurkan PKR dan DSA.Melaga-lagakan.Apa lagi!

    Adatnya begitu,tak kanlah mereka tulis yang baik-baik tentang PR.


    Oleh itu boleh sekadar baca tetapi jangan percaya walau ooo1% .Itu saja!

    Kalau tak tahan dengan mereka
    tak payah baca
    itu paling baik
    tak rugi
    tak sakit hati.

    Dan pemimpin pulak jangan mudah
    buka mulut bila wartawan depa tanya atau beri ruang untuk cetakan pelaris.


    Bolehtak?

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...