Sabtu, September 04, 2010
Video Demonstrasi di Indonesia
JAKARTA, 3 Sept (Bernama) -- Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), yang berdemonstrasi di sini turut memaparkan sepanduk dengan anti-Malaysia yang turut memaparkan watak kartun Malaysia, Upin dan Ipin.
Watak Upin dan Ipin telah menjadi idola banyak warga Indonesia sejak filem animasi buatan Malaysia ditayangkan di republik itu.
Kumpulan demonstrasi itu telahpun membawa sepanduk berbunyi "Diplomasi No, Perang Yes" serta peringatan pada pengguna jalan "Maaf perjalanan anda terganggu, ada sweeping warga Malaysia".
Gerakan usir atau sweeping rakyat Malaysia dibuat di hadapan bangunan pejabatnya, di Jalan Diponegoro No 58 Jakarta namun ia dihalang oleh pasukan Polis Indonesia.
Kira-kira 20 anggota Bendera cuba menahan beberapa kereta yang melalui jalan itu untuk memeriksa identiti pemandu dan penumpang pada pukul 4.30 petang, menjadikan lalu lintas di jalan itu sesak.
Tetapi belum sempat mereka menjalankan pemeriksaan, pasukan polis terus menghalang mereka dan membentuk barisan untuk memisahkan mereka dengan kereta.
Tindakan polis itu telah membuat penunjuk perasaan menjadi emosional dan mereka mula berdalih memberitahu polis bahawa tindakan mereka adalah untuk membela negara.
"TKI-TKI (tenaga kerja Indonesia) kita di Malaysia ditangkap, disiksa. Mengapa kita tidak boleh sweeping? Pak Polis ini Polis Indonesia atau Polis Malaysia?" teriak penunjuk perasaan di depan bekas pejabat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu.
Sungguhpun mereka berjanji akan memeriksa identiti pengguna kenderaan dengan cara baik tanpa kekerasan, pasukan polis tetap tidak membenarkan mereka berbuat demikian.
Koordinator Bendera, Mustar Bonaventura berkata "sweeping" merupakan balasan ke atas sikap kerajaan Malaysia yang sampai sekarang belum meminta maaf dan tidak memberi respons dengan baik nota bantahan Indonesia, menunjukkan ia tidak mempunyai iktikad baik.
"Kalau sampai kita temukan warga Malaysia, kita akan pulangkan segera," kata Mustar dalam pidatonya.
Demonstrasi itu dilakukan selama kira-kira sejam setelah gerimis turun di sebahagian ibu kota ini.
Polis memberitahu bahawa mereka hanya mengizinkan Bendera berdemonstrasi dan menyampaikan pendapat tanpa mengganggu ketenteraman awam.
Sementara itu, dua portal berita Tempo dan Rakyat Merdeka memetik Ketua Polis Indonesia Jenderal Bambang Hendarso Danuri memberi peringatan kepada masyarakat Indonesia agar tidak terpengaruh dengan ajakan "sweeping" warga Malaysia yang berlegar di laman sosial Facebook dan Twitter.
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap penunjuk perasaan yang membakar bendera atau merosakkan bangunan perwakilan asing, katanya.
Sekumpulan kecil pelajar turut mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan pada kira-kira pukul 5 petang.
Demonstrasi berterusan dilakukan beberapa kumpulan masyarakat bagi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu.
Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia.
Kedua-kedua belah pihak mendakwa penahanan itu dibuat kerana kesalahan menceroboh wilayah perairan negara masing-masing.
Kesemua tahanan itu telah dibebaskan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara itu pada 17 Ogos.
-- BERNAMA
dia orang memang kurang ajar. Tak reti bahasa
BalasPadam