Khamis, Oktober 21, 2010

Bolehkah Pakatan Rakyat Mempercayai SAPP?


KUALA LUMPUR 20 Okt - Setelah Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di Parlimen semalam bahawa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil Batu Sapi, persoalan berhubung Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga mahukan kerusi tersebut sudahpun terjawab.

Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu menyifatkan pengumuman tersebut satu langkah yang tepat dan gesaan supaya SAPP memberi laluan satu lagi kekuatan Pakatan Rakyat sebagai gagasan popular yang merentasi kaum, agama dan sempadan.

Bagi Dr Hiew yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, isu yang paling penting sekiranya ada ura-ura Pakatan Rakyat mahu bekerjasama dengan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee adalah samada parti itu boleh diyakini sebagai rakan kongsi politik.

Malah kata beliau adakah SAPP boleh dipercayai?

Pakatan Rakyat katanya perlu mempelajari sejarah dan mengambil iktibar daripada liku-liku perjalanan politik Sabah yang diwarnai dengan segala macam ragam termasuk pengkhianatan sesama parti komponen demi kelangsungan pengaruh dan kuasa politik peribadi.

"Sebelum Pakatan Rakyat terfikir mahu bekerjasama dengan SAPP, fikir dulu masak-masak dan selidik latar belakang SAPP.

"Semasa dalam Barisan Nasional dahulu SAPP digunakan oleh Umno untuk memecahkan undi samada pada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum. Parti itu mendakwa ia adalah parti tempatan walhal hakikatnya SAPP adalah parti dari Sabah yang didaftarkan di Kuala Lumpur, seperti juga parti-parti lain termasuk DAP, PAS dan KEADILAN.

"Mereka juga berdakwa parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah parti Semenanjung. Ini juga tidak benar. Kita adalah parti nasional sementara SAPP sebenarnya 'parti nyamuk'. Umpamanya DAP mempunyai 29 Ahli Parlimen dan 71 Ahli Dewan Undangan Negeri sementara SAPP hanya ada dua Ahli Parlimen dan dua Adun sahaja, itu pun semua di negeri Sabah," terang Dr Hiew.

Payah bagi mana-mana parti politik mahu mengadakan kerjasama dengan SAPP tegas tokoh veteran DAP itu.

Ini kerana sejarah mengajar bagaimana SAPP dibeli oleh Umno-BN ketika bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai rakan kongsi dalam kerajaan negeri tetapi kemudiannya parti itu mengkhianati PBS dan seterusnya menyumbang kepada kejatuhan pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 1993.

Teck Lee juga bertindak membawa keluar partinya sebagai komponen BN pada tahun 2009 setelah menuduh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membelakangkan serta menafikan hak negeri Sabah. Kalau beliau buat begitu kepada bosnya, beliau juga boleh berbuat demikian kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.

"Sebenarnya Teck Lee marah sebab beliau tidak dapat jawatan dan permintaannya tidak dilayan oleh Perdana Menteri. Dia juga marah sebab beliau dilantik sebagai Senator tapi perlu menunggu giliran sebab tidak ada kekosongan dalam Dewan Negara. Dulu Pairin adalah bosnya tapi dia khianat, lepas itu Pak Lah jadi bos, dia pun khianat. Saya nak tanya adalah mana-mana parti politik berani menjadi rakan kongsi SAPP?," tanya Dr Hiew.

Dr Hiew tidak menolak kemungkinan langkah SAPP bertegas mahu bertanding di Batu Sapi adalah atas arahan BN malah tidak dinafikan BN juga membiayai segala kempen dan perbelanjaan parti itu di kawasan itu.

Beliau menegaskan Pakatan Rakyat di sabah telah bekerja keras selepas PRU 2008 untuk menarik sokongan rakyat dan hasilnya amat memberangsangkan sekali.

"Kita semua berkorban dan bekerja bersungguh-sungguh untuk membina kekuatan di Sabah. Jangan sia-siakan semua ini kerana mahukan sokongan SAPP. Mereka tidak boleh dipercayai.

"Kalau kita bekerjasama dengan SAPP ini bermakna kita telah menghampakan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terutamanya apabila SAPP berkata berkali-kali bahawa parti itu mahu bertanding di 40 kerusi kerana Yeck Lee mahu menjadi Ketua Menteri.

"Bayangkan kalau Pakatan Rakyat beri 20 kerusi kepada SAPP dan pada hari penamaan calon parti itu isytihar menyokong BN, hilang begitu kerusi kepada BN dan hilanglah impian kita mentadbir serta membawa perubahan di Sabah," hujah beliau.

Sehubungan itu beliau menyeru pengundi Sabah supaya tidak mensia-siakan undi mereka kepada SAPP dan membuat tekad untuk menyokong calon Pakatan Keadilan sepenuhnya.

"Kalau SAPP benar-benar anti-BN, jangan pecahkan undi Pakatan Rakyat di Batu Sapi. Tarik diri dan buktikan bahawa anda betul-betul serius mahu jatuhkan BN. Kalau tidak anda sememang bersekongkol dan menjadi ejen BN," cabar Dr Hiew lagi.

SK



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...