Rabu, Oktober 27, 2010

Hamba seks tauke


DUNGUN – Lantaran nipisnya iman dan terdorong hasutan syaitan seorang wanita berstatus ibu tunggal sanggup menjual kehormatan diri dengan menjadi perempuan simpanan seorang pemilik pusat hiburan.

Dengan pendapatan mencecah RM6,000 sebulan, dia dipercayai menjadi hamba seks tauke terbabit.

Malah janda yang difahamkan pernah menjadi mak andam itu dipercayai pernah mengandung anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan tauke, 31 yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

Perbuatan tidak bermoral janda terbabit sudah mula dihidu pihak berkuasa, bagaimanapun tindakan licik wanita berasal dari kawasan Tanah Rancangan Felda Kerteh Satu yang dipercayai sering menukar modus operandi itu menyebabkan lokasi maksiatnya sukar dikesan.

Bagaimanapun hasil risikan bersepadu membabitkan kerjasama warga komuniti, sepasukan Anggota Penguat Kuasa Syariah Dungun akhirnya berjaya memerangkap janda berusia 27 tahun itu ketika bersama teman lelakinya di sebuah rumah teres di Kampung Limbong Paka, jam 2.50 pagi, 29 mei 2008 lalu.

Sehubungan itu, dia dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu kerana kesalahan berkhalwat.

Janda terbabit yang dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan kemudian dibebaskan dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya disebut semula pada 13 ogos 2008.

Biarpun perintah mahkamah menghendaki dia hadir bagi menghadiri perbicaraan pada tarikh berkenaan, namun tanpa sebarang alasan munasabah, janda tersebut gagal menghadirkan diri lalu satu waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Sejak itu, wanita yang difahamkan pernah mempunyai anak dengan suaminya terdahulu terus menghilangkan diri.

Akhirnya selepas hampir dua tahun menjejaki janda berambut perang itu, dia berjaya dikesan berada di sebuah rumah di Felda Kerteh Satu lalu satu operasi khas diketuai Ketua Penguat Kuasa Syariah, Yusuf Musa dilakukan untuk menangkap wanita terbabit.

Janda berambut pendek yang bekerja sebagai pengurus pusat Karaoke dipercayai milik teman lelakinya ketika menerima tetamu tidak diundang kira-kira jam 12.30 malam itu bagaima-napun hanya mampu terkedu apabila diarahkan untuk mengikuti anggota penguat kuasa terbabit ke lokap polis sebelum dibawa ke mahkamah bagi mengikuti perbicaraan keesokan harinya.

Akhirnya, tertuduh yang tidak diwakili peguam dikenal sebagai Lina yang berada di kandang tertuduh ketika mendengar hujah panas Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah tidak dapat menahan sebak lalu menangis terisak-isak.

Ketika ditanya Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah berkaitan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bersabit kesalahan berkhalwat dengan lelaki itu, dengan linangan air mata dia mengakui kesilapan dilakukan dan memohon mahkamah meringankan hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya.

Azmi dalam hujah pendakwaannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh memandangkan perbuatan tersebut boleh menjatuhkan moral umat Islam selain menyebabkan gejala sosial semakin berleluasa.

Bagaimanapun dengan hujah penggulungan yang dikemukakan pendakwaraya terbabit dan mengambil kira rayuan tertuduh, hakim akhirnya menjatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 ke atas Lina.

Mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu, mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Lina yang dijatuhkan hukuman mengikut seksyen tersebut akhirnya membayar denda berjumlah RM3,000 untuk membolehkan dia dibebaskan mahkamah.

SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...