Khamis, Oktober 28, 2010
Ibu maut digilis lori
PENDANG – Seorang wanita maut digilis lori pasir di Titi Kampung Hampar, di sini, petang Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, Rosiah Hussin, 47, dari Kampung Tok Sedau, dekat sini, dikatakan terjatuh apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan lori berkenaan sebelum digilis. Mangsa ketika itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Pendang, Cif Inspektor Abdul Ghani Khamis berkata, mangsa yang meninggalkan suami dan empat anak, menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.
“Motosikal mangsa dan lori itu datang dari arah jalan Sungai Tiang ke Pekan Pendang ketika lori terbabit tergesel dengan motosikal mangsa yang berada di kiri laluan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis tayar belakang lori itu,” katanya.
Abdul Ghani berkata, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan tiba di pangkal jambatan berikutan laluan yang sempit, tambahan pula ada kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, lori yang membawa muatan pasir melebihi had itu datang dari Bukit Selambau.
Abdul Ghani berkata, pemandu lori terbabit terus melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang melihat kejadian itu.
“Seorang pemandu lain yang menyedari pemandu lori itu cuba lari meminjam motosikal penduduk untuk mengejar dan berjaya menahan lori itu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya.
Abdul Ghani berkata, pihak polis meminta lelaki terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan memandangkan dia yang melihat kejadian yang berlaku.
Selain itu, beliau meminta semua pemandu lori yang melalui jalan itu lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang memandangkan laluan di tempat itu begitu sempit dan digunakan ramai penunggang motosikal.
“Pemandu lori harus lebih berhati-hati memandangkan jalan Sungai Tiang ke Pendang itu sempit selain banyak selekoh. Pemandu lori harus memberi ruang kepada penunggang motosikal kerana banyak kes kemalangan maut yang membabitkan penunggang motosikal dengan lori di laluan itu,” katanya.
SH
pehhh menakutkan
BalasPadam