Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
PUTRAJAYA: Lima artis terkenal dalam perhatian khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan menjadi ‘senarai keutamaan’ individu yang bakal dicekup kerana disyaki terbabit dengan kegiatan maksiat, berkhalwat dan berjudi.
Lima artis membabitkan empat wanita dan lelaki berusia 20-an hingga 30-an itu menjadi perhatian utama Jais selepas banyak aduan dibuat orang awam secara berterusan mengenai salah laku mereka.
Mendedahkan perkara itu, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof berkata, pihaknya menerima banyak maklumat serta aduan mengenai lima artis terbabit sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, berdasarkan aduan diterima serta pemantauan dilakukan Jais, pihaknya mengenal pasti lokasi sarang maksiat artis terbabit dan menunggu masa sesuai mencekup mereka.
“Mengikut maklumat yang kami ada, seorang daripada artis wanita terbabit berusia 30-an dikatakan selalu membawa balik teman lelakinya yang juga suami orang ke rumahnya sejak lebih dua bulan lalu.
“Kegiatan sama juga dilakukan artis wanita lain yang selalu membawa kekasih ke rumahnya terutama selepas jam 10 malam. Tindakan seperti menimbulkan rasa kurang senang jiran tetangga hingga mendorong mereka membuat aduan kepada Jais,” katanya.
Shahrom berkata, artis lelaki terbabit pula menjadi sasaran Jais kerana sering berjudi dan aduan diterima jabatan itu bukan saja daripada orang awam yang tidak mahu bersubahat dengan salah laku artis itu, tapi juga anggota keluarganya yang kecewa dengan tabiat buruknya.
Menurutnya, biarpun Jais mempunyai maklumat dan bukti yang cukup untuk menahan lima artis terbabit, pihaknya mengalami sedikit kesukaran membuat serbuan kerana kawasan tempat tinggal mereka berstatus agak mewah serta dilengkapi kawalan keselamatan.
“Kebiasaannya, individu yang melakukan maksiat termasuklah lima artis ini sudah membuat pakatan dengan pengawal keselamatan agar mereka diberitahu lebih awal apabila kami membuat serbuan supaya mereka dapat meloloskan diri.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh putus asa, sebaliknya ada strategi tersendiri untuk melaksanakan tugas kami demi memastikan segala jenis kegiatan maksiat dibanteras, termasuk yang dilakukan golongan artis,” katanya.
Pada masa yang sama, Shahrom tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi artis yang melakukan kegiatan tidak bermoral termasuk menjadikan kelab eksekutif dan pusat hiburan tertentu sebagai markas melakukan maksiat.
Menurutnya, dalam hal ini, kerjasama orang awam agar tampil membuat aduan penting bagi memastikan kegiatan artis terbabit dapat ditangani segera.
“Sebenarnya, apa yang kami lakukan bertujuan memberikan pengajaran kepada pelaku maksiat termasuk artis supaya tidak melakukan perbuatan itu.
“Sebagai individu yang menjadi perhatian ramai dan ada kelompok peminat tersendiri artis sepatutnya menunjukkan akhlak baik dan bukannya melakukan perbuatan yang merendahkan martabat mereka,” katanya.
Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan khalwat akan disiasat mengikut Sekyen 29(1a), Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan yang terbabit dengan judi pula disiasat mengikut Seksyen 17(1) enakmen sama.
HM
siapakah gerangannya...huhuhua
BalasPadam