Oleh Mohd Rashidi Hassan
PAGI Sabtu lepas, penulis menerima panggilan telefon dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Beliau memang sering menelefon, tetapi jika panggilan dibuat pagi-pagi hari, ada lah sesuatu yang tidak kena.
"Hai Rashidi, selamat pagi, apa khabar," kedengaran suara Guan Eng dicorong telefon."Selamat pagi CM (Chief Minister), saya okay, kenapa pagi-pagi call, ini mesti ada problem," ujar penulis."Ya lah, ini Utusan, you sudah baca? Saya betul-betul geram," katanya.
"Belum, saya tak beli, biasa tengok kat internet sahaja," jawab saya.
"Inilah..Utusan ini you tau la..memang suka buat fitnah..Umno fitnah saya. Dia orang lagi twist (putar belit)," katanya.
"Umno ini fitnah saya, dia kata saya guna wang judi bantu orang Melayu yang miskin. Umno ini jahat macam Firaun. Hari itu dia kata saya guna duit judi untuk bagi RM100 seorang setiap tahun di bawah Program Penghargaan Warga Emas.
"Bila kita sudah jawab, duit itu kita beri hasil lebihan belanjawan negeri, duit itu duit jimat sebab kita anti rasuah. Lepas itu dia tuduh kita guna wang untuk bantuan kemiskinan di bawah program Rakan Anti-Kemiskinan pula," ujarnya melepaskan geram.
"Waahh..you betul-betul geram dengan Umno," usik penulis menambah kehangatan.
"Mestilah, kita tak bodoh macam Umno. Umno tak pernah faham kerana dia tak tahu jimat. Umno-Gerakan sama sahaja..puluh tahun perintah, yang dia tahu sapu duit rakyat. Itu pasal pemimpin dia banyak kaya.
"Ini program bantuan warga emas dengan anti kemiskinan pun dia (Umno) tak tahu beza. Dia (Umno) ingat Melayu sahaja kah miskin? Ramai lagi orang Cina, India, lain-lain bangsa..pun miskin juga! Ini semua kita mesti tolong," ujar Guan Eng dengan nada keras.
"You betul-betul marah ini, saman sahaja lah Umno sama Utusan," kata penulis.
"Ya lah..saman pun belum tentu menang..mahkamah dia (Umno-Barisan Nasional) punya. Tapi saya mahu cakap sama you..saya juga faham Islam. Saya tahu orang Islam tidak boleh terima wang judi. Sebab itu kita separate (asing) lejer (akaun).
"Ini syarikat judi, Umno-BN yang kasi (beri) lesen. Kalau mereka hendak derma pada kerajaan negeri tak kan kita nak tolak? Wang itu kita guna untuk tolong orang bukan Islam yang miskin..salahkah? Ini pun Umno susah nak faham.
"Pasal apa sekarang Umno sensitif dengan judi? Bukankah selama ini dalam negara kita, Umno yang luluskan judi. Judi bola pun dia lulus, kita tentang.
"Rashidi, kalau you ingat, Pulau Pinang lah negeri yang pertama mengharamkan judi bola. Saya hairan, sekarang baru pemimpin Umno tahu, guna wang judi itu haram," ujarnya panjang lebar.
Kesian Guan Eng. Perbualan kami berlangsung sekitar 20 minit. Ternyata banyak perkara yang hendak Guan Eng sampaikan. Sesekali penulis meminta beliau bersabar dengan tekanan yang diterima sepanjang menjawat jawatan Ketua Menteri.
Sebagai seorang sahabat dan petugas di Harakah, penulis hanya boleh memberi jaminan untuk membantu membela beliau sekadar yang termampu.
Pada penulis, keikhlasan Guan Eng membantu rakyat, ketelusannya dalam mentadbir, dengan mengetepikan kepentingan peribadi, jauh lebih baik daripada pemimpin Umno-BN.
Apa pun penulis yakin Kerajaan Pakatan Rakyat dan Guan Eng sendiri, di Pulau Pinang, tidak akan tergugat dengan serangan-serangan jahat yang dilemparkan oleh Umno.
Dalam isu berkaitan penggunaan wang judi ini, selain dari pendedahan palsu Umno negeri, isu ini turut mendapat respon Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita mahukan respons daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, kerana prinsipnya kena ikhlas. Kalau sumber (wang) itu daripada sumber haram, kita Muslim tidak mahu bersubahat," kata Muhyiddin.
Cara Muhyiddin juak-juak Umno-BN bangkitkan isu memang hebat dan penuh bergaya. Macam Umno Islamik sangat dan tidak langsung mahu bertolak ansur dalam soal halal haram.
Dakwaan Umno dimulakan oleh Ketua Penerangan Pemudanya, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar. Serangan dibuat bertalu-talu terhadap Guan Eng dengan sokongan media talibarut Umno-BN.
Dalam satu kenyataan media, respon kepada fitnah tersebut, Guan Eng menegaskan adalah tidak munasabah untuk kerajaan negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.
"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.
"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama BN yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.
"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan Pakatan Rakyat sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya.
Tetapi jawapan Guan Eng dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri ini, tidak disiarkan, sebaliknya laporan mereka sebelah pihak dan penuh dengan putar belit.
Sebab itu kita lihat pemikiran Umno, khususnya TPM yang membuat respon berdasarkan laporan media talibarut, makin jumud dan sembab.
Fikiran mereka jumud kerana tidak menyerang hanya kerana sentimen politik dan otak mereka makin sembab kerana enggan menerima hakikat dari fakta yang sebenar.
Dalam hal mentadbir, tiada siapa yang sempurna. Jika Guan Eng salah, kemukakan fakta yang betul, jangan memaki hamun dan membuat provokasi. Ini tidak baik bagi masyarakat yang kononnya beretika dan bermoral tinggi.
Apa pun pada penulis, media talibarut tidak mudah mempengaruhi rakyat. Rakyat makin matang. Fakta sebenar, begitu mudah diakses menerusi media alternatif.
Hasil dari kematangan rakyat ini, mereka akan menghumbankan pemikiran yang jumud dan sembab ke dalam muzium selepas PRU ke-13 nanti.
DD
- sudah la bro...- syok jadi puak PAS ini..
BalasPadam- kalau kat geng korang semua boleh...
- hari tu dok bantah judi bola..tapi judi lumba kuda boleh pulak ambil hasilnya...kenapa tak bantah?
- mana pendirian korang ni..