Khamis, Oktober 14, 2010
Keganasan bola sepak kian kritikal
PENYOKONG Selangor (kiri) dan Kelantan berperang botol air, mercun dan tempat duduk stadium yang dicabut dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Oleh Harris Rajahdin
Hukuman lebih keras wajar dikenakan kepada pasukan gagal kawal penyokong
DALAM keghairahan Piala Malaysia memasuki peringkat suku akhir, elemen keganasan bola sepak di dalam dan luar padang, memasuki tahap kritikal seperti yang dapat disaksikan pada pertemuan Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Ketika perlawanan timbal balik pertama itu berakhir seri tanpa jaringan, mereka yang menghadirinya pasti tidak akan mengingati aksi kesungguhan pemain di dalam padang, sebaliknya insiden keganasan sepanjang perlawanan yang berlanjutan selepas wisel penamat.
Bermula dengan ledakan mercun ke arah penyokong Selangor hinggalah mercun roket yang dihalakan ke bangku simpanan tuan rumah yang tersasar ke bangku petugas perubatan, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) turut sibuk sepanjang malam untuk mengawal keadaan.
Keadaan tidak dibantu dengan insiden buang padang penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan pertahanan Selangor, P Gunalan pada penghujung babak pertama kerana ia tambah menyemarakkan rasa meluap-luap penyokong kedua-dua pasukan.
Sejurus tamat perlawanan, penyokong kedua-dua pasukan menunjukkan belang dengan mencetuskan pergaduhan di sana sini dengan mangsanya adalah peminat yang datang untuk menonton bola sepak sebenar.
Itu belum dikira lagi insiden pergaduhan besar lain yang dikatakan membabitkan kumpulan besar di perkarangan stadium tetapi usaha keras FRU seharusnya dipuji kerana berjaya menenangkan keadaan yang akhirnya kembali tenang menjelang detik tengah malam.
Sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman lebih keras kepada pasukan yang gagal mengawal penyokong sendiri dengan mengarahkan mereka bermain di stadium tertutup atau mengenakan tempoh penggantungan lebih panjang supaya keadaan tidak bertambah parah.
BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...