Ahad, November 28, 2010

Harga rokok naik, perokok turut bertambah


Oleh - Dr Aminudin Mansor
Kerajaan telah menaikkan kadar duti eksais bagi rokok sebanyak tiga sen sebatang, berkuat kuasa 1 Oktober lalu, tetapi bilangan perokok makin bertambah terutama dalam kalangan generasi muda.

Dengan kenaikan kadar duti eksais itu, amaun kenaikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang ialah kira-kira 63 sen, iaitu 60 sen daripada duti eksais dan tiga sen daripada cukai jualan, demikian menurut satu kenyataan daripada Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Kenyataan yang sama berkata, kenaikan itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan di bawah Konvensyen Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Isu rokok seakan tiada penghujungnya.

Melalui komitmen itu, kaedah percukaian dan kawalan harga merupakan langkah penting dan berkesan dalam mengawal penularan gejala merokok, terutamanya dalam kalangan remaja.

Langkah itu juga selaras dengan dasar penetapan harga minimum jualan rokok sebanyak RM6.40 sekotak berkuat kuasa mulai Januari tahun ini.

Bagaimanapun, jika ditinjau dalam kalangan remaja, penularan gejala merokok ini masih belum dapat diatasi kerana pekedai menjual rokok secara bebas dengan menjualnya kepada remaja, sama ada sebatang atau dua batang.

Remaja, khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah bebas membeli rokok di kedai runcit, begitu juga kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Ketagihan merokok juga semakin menular dalam kalangan remaja perempuan.

Selain itu, penjualan rokok seludup juga tidak dapat dibanteras, disebabkan banyaknya permintaan dalam kalangan perokok tegar. Antara penjual dan pembeli mereka mempunyai hubungan akrab saling memerlukan. Penjual memerlukan wang, sementara pembeli memerlukan rokok.

Sementara itu, kempen anti merokok seakan tidak memberi kesan kepada perokok terutamanya remaja dan pelajar sekolah. Pihak sekolah hanya dapat mengawalnya semasa waktu persekolahan. Ada juga pelajar yang mencuri-curi merokok di dalam tandas pada waktu rehat. Sementara, kawasan larangan merokok di luar juga seperti di pusat beli-belah, hospital dan pejabat kerajaan tidak diambil endah oleh perokok tegar.

Hanya melalui kesedaran dan keinsafan sahaja perokok dalam kalangan remaja, khususnya pelajar sekolah dapat diatasi dan dibanteras. Kempen melalui kesedaran ini mestilah dilakukan dari masa ke masa di sekolah bagi mengatasi gejala merokok. Selain itu, tindakan tegas perlu juga dilakukan kepada pelajar yang merokok di sekolah.

Ibu bapa, dan guru mestilah berusaha dan bekerjasama bagi menangani masalah ini. Jika pelajar ketagih merokok mereka bukan sahaja tidak dapat memfokuskan sepenuhnya kepada pelajaran, malah boleh menjejaskan kesihatan serta penumpuan kepada pekerjaan mereka, terutama apabila bekerja nanti.

SH

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

2 ulasan:

  1. Dr.Amiruddin,

    Sila buat satu kajian yang rapi - yang mana lebih bahaya antara rokok,garam dan gula.Kajian hendaklah berdasarkan fakta-fakta untuk menentukan "The Number 1 Killer" in Malaysia.Fakta juga wajar menentukan kesan sampingan atau kesan terus.Kalau boleh muatkan sekali angka kematian yang berkaitan - serangan jantung,darah tinggi(akibat garam),kancer paru-paru dan tekak(akibat rokok) dan kencing manis (akibat gula).

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...