Rabu, November 03, 2010

PAS beri SPR amaran, kira undi Orang Asli di pusat mengundi

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


GUA MUSANG, 2 Nov – PAS menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula keputusannya mahu membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli – yang mempunyai 924 pengundi – tanpa dikira terlebih dahulu di pusat pengundian terbabit.

Ia akan memfailkan bantahannya berhubung keputusan SPR itu esok iaitu sehari sebelum pengundian diadakan.

Empat kawasan tersebut adalah Belatim, Balar, Bihai dan Hau yang mana SPR akan menggunakan khidmat helikopter untuk mengangkut kertas undi sebelum dikira di pusat penjumlahan undi di sini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun berkata, bantahan itu akan dibuat esok melalui peguam.

“Sekarang peguam kita sedang buat persiapan terakhir untuk buat bantahan kepada SPR.

“Bantahan ini kerana kita melarang SPR bawa pulang kertas undi dari empat kawasan Orang Asli itu.

“Kita tidak mahu ia dibawa ke pusat pengumpulan kertas undi (Dewan Pusat Sivik Gua Musang), kita mahu ia dikira di sana terlebih dahulu,” katanya pada sidang media di Markas Pilihan Raya PAS DUN Galas di sini petang tadi.

Menurut Abdul Fatah, SPR tidak memaklumkan perkara itu kepada pihaknya terlebih dahulu.

“SPR tidak beritahu empat peti undi itu akan dibawa ke pusat pengumpulan kertas undi sebelum dikira.

“Sebelum ini (2008) undi ini dikira di sana terlebih dahulu, kali ini ia berbeza di mana ia akan dikumpulkan di pusat pengumpulan (kertas undi) pula.

“Kita ambil keputusan ini kerana bimbang semasa ia dibawa dengan helikopter, apa sahaja yang boleh berlaku.

“Lagipun pemerhati kita tidak berada bersama, jadi peluang penipuan itu masih ada,” katanya.

Tambah Abdul Fatah, sekiranya SPR menolak bantahan itu pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Kita akan buktikan kesungguhan kita dalam perkara ini dan sekiranya SPR menolak kita akan membawanya ke mahkamah,” katanya.

Kata beliau, pihaknya beranggapan sekiranya kertas undi itu tidak dikira di tempat mengundi, tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.

“Undi-undi dari empat kawasan itu mesti dikira di pusat pengundian masing-masing,” katanya.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan Dr Zulkefli Mohamad yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...