Isnin, Disember 06, 2010

1Malaysia Rakyat Kena Dulu

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kerajaan sepatutnya mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga barangan keperluan rakyat sekalipun beralasan mengurangkan tanggungan subsidi negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, tindakan terbaru kerajaan BN menaikkan harga petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula, tidak membuktikan 'rakyat didahulukan', tetapi 'rakyat yang dahulu kena'.

Katanya, rakyat yang tidak bersalah sentiasa menjadi mangsa keadaan, sedangkan kerajaan pula boros dan membazir dalam mengurus perbelanjaan wang negara.

"Negara kita begitu banyak sekali kes-kes pembaziran yang melibatkan jutaan ringgit dan ini boleh dirujuk semula kepada laporan audit negara.

"Jika ini situasinya, maka bukan rakyat didahulukan tetapi rakyat yang kena dulu," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sewajarnya bertindak sebagai payung kepada rakyat, dan mencari jalan untuk mengurangkan bebanan mereka bukan memangsakan mereka.

"Jika kerajaan gagal untuk menampung bagi pihak rakyat dan menampan tekanan atau kekangan kenaikan harga minyak di peringkat antarabangsa, maka rakyat akan dihimpit derita dan sengsara.

"Bukan kerana mereka menjadi mangsa kepada lonjakan harga minyak dipasaran dunia tetapi mereka menjadi mangsa kepada kerajaan yang mereka pilih kerana menghabiskan dana negara sehingga tidak mampu untuk menampung bagi pihak rakyat agar mereka tidak perlu membayar harga minyak yang tinggi sebagai pengguna," katanya lagi.

Turut dipersoal, sama ada kerajaan sebenarnya memang merancang menaikkan  harga minyak kerana mahu mengelak dari beban dan tanggungjawab yang sepatutnya.

"Secara jujurnya saya minta supaya kerajaan Umno dan BN mencontohi bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat mengurus kewangan negeri yang mereka kuasai sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara.

Bukan sahaja pandai dan bijak mengurus tetapi berani berjimat dan cekal mengambil langkah cermat biarpun berdepan dengan tekanan politik dan ekonomi dari kerajaan pusat.

"Kalau boleh saya tanya soalan nakal, saya nak tanya, kerajaan menaikan harga minyak ni betul betul kerana harga minyak di pasaran dunia naik atau kerana negara habis duit buat main kapal layar di Terengganu?

“Habis duit buat main jet di Langkawi? Maaf, saja saja jer tanya kerana sedar soalan ini agak nakal," katanya.


wargamarhaen

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...