Jumaat, Disember 31, 2010

Biaq beruk je yang terkejut

Oleh: Faekah Husin


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menunjukkan betapa cetek semangat beliau terhadap kepedulian kepada rakyat apabila beliau membayangkan Malaysia akan jatuh bankrap jika program 100 Hari Pakatan Rakyat dilaksanakan.  Ia juga menunjukkan betapa beliau tidak yakin dengan kemakmuran hasil mahsul Negara yang dikurniakan Allah SWT.




Apa-apa pun, saya tidak terperanjat apabila beliau berpendirian sedemikin walau sedikit kecewa kerana orang No. 2 negara gagal meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas mentadbir Negara.  Ini menunjukkan UMNO-BN sememangnya akan meneruskan corak pemerintahan sejak 52 tahun dahulu yang tidak meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walau terpukul teruk pada 2008 yang lalu.



Kerana kedangkalan pemikiran pemimpin BN terhadap keperluan rakyat, Pakatan Rakyat mempersembahkan program 100 hari untuk rakyat Malaysia bagi melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pentadbiran; perundangan, ekonomi dan pendidikan.  Sebagaimana yang dijangka, tanpa berfikir panjang Muhyiddin melahirkan keraguan terhadap kemampuan Negara dan mempersenda pula jasa para guru apabila menyatakan Negara akan bangkrap jika imbuhan RM500 diberikan kepada mereka.  Dengan gelojoh pula mencabar negeri Pakatan melaksanakannya.

Terbukti Muhyiddin (gambar kanan) dan BN telah menjadi mangsa kepada perbuatan mereka sendiri yang menggunakan arus perdana alat propaganda untuk memutar belit fakta sehinggakan mereka jelas tidak tahu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telahpun melaksanakan lebih daripada 60% daripada sembilan program yang disenaraikan di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.  Bajet Selangor Hasil Negeri Untuk Rakyat begitu komprehensif telah melaksanakan agenda Pakatan tersebut.



Pakatan Rakyat Selangor telahpun menjaga kebajikan kakitangan awam khusus profesion perguruan.  Bukan sahaja kita mengikhtiraf kewujudan dan kepentingan peranan mereka, kita telah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM500 menjadikannya RM1,000 sebulan dalam tempoh setahun mentadbir Selangor.  Kakitangan kerajaan pula diberikan sumbangan musim perayaan sebanyak RM500 dan RM500 lagi untuk bonus hujung tahun.  Inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, bukan sekadar slogan murahan.

          

Selangor telah memperkemas urusan pentadbiran negeri yang lebih telus dan bertanggungjawab dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang telah berjaya mengadakan beberapa siri sesi pendengaran awam berhubung dakwaan penyelewengan dana awam dan salah urus tadbir.



Selangor telah menjangkau ke hadapan apabila meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat untuk membolehkan rakyat tahu bagaimana negeri Selangor ditadbir termasuk tatacara perbelanjaan hasil negeri.  Selangor mahu pembayar cukai turut serta dalam pembangunan, pada masa yang sama mewujudkan proses timbangtara dalam penggunaan hasil negeri.  Untuk itu Selangor menjadi negeri pertama yang melaksanakan pendengaram awam di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan.  Melalui Pelan Tiga Tahun Selangor seluruh rakyat Selangor berpeluang berbincang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan berkaitan permasalahan rakyat baik dari segi mutu perkhidmatan yang ditawarkan, masalah keselamatan hinggalah masalah domestik.  Penyelesaian menyeluruh juga telah dicadangkan dalam sesi tersebut.


Visi melindungi dan menyelamatkan Khazanah Nasional.  Di Selangor, kita telah memperkasa Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang membolehkan MBI mengambil alih kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya pentadbirannya selari dengan matlamat penubuhan dan menyelamatkan aset milik kerajaan Selangor dari disalahguna samada atas tiket penswastaan mahupun oleh pemimpin dan syarikat kroni yang tamak.


Dalam tempoh kurang tiga tahun memerintah, MBI telah Berjaya mengenal pasti dan mengutip semula hutang lapuk dari syarikat Talam Corporation Berhad (Talam) berjumlah RM392 juta yang ditinggalkan kerajaan BN.  Hasilnya, sebanyak RM50 juta dari kutipan hutang ini kita kembalikan semula kepada rakyat menerusi Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) untuk membantu golongan miskin luar bandar manakala RM20 juta diperuntukkan untuk membantu rakyat miskin di Bandar menerusi skim yang sama.



Mengenai Felda yang tersimpang jauh dari matlamat asal penubuhan; yakni memberi peluang peneroka memiliki tanah yang telah mereka usahakan maka terdapat banyak tanah Felda di Selangor tergadai kepada pihak ketiga.  Malang sungguh kerana terdapat juga tangan-tangan pemimpin UMNO yang turut terpalit.  Kerajaan Selangor sedang berusaha keras menyelamatkan tanah-tanah milik peneroka Felda termasuk tanah-tanah peserta program Revolusi Hijau yang telah tergadai kerana penyelewengan yang dilakukan kroni-kroni BN.  Kita telah berjaya menyelamatkan ribuan ekar tanah dan menyelesaikan ribuan unit rumah terbengkalai menerusi program pembangunan semula projek terbengkalai antaranya di Bukit Botak, Ukay Perdana dan Alam Perdana.


Penstrukturan semula syarikat GLC telah membolehkan Selangor melaksanakan program pemberian air percuma sejak Jun 2008.  Pemberian air percuma ini bukti kita mengurus harta rakyat dengan cekap dan bijaksana.  Dengan kebijaksanaan inilah maka hari ini kita telah mengenal pasti asset milik rakyat bernilai lebih RM10.9 bilion yang digunakankan syarikat kroni yang tamak.  Pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan lebih efisien dan berfaedah kepada rakyat sekiranya kerajaan negeri berjaya mengambil alih semula pengurusan air, malangnya mendapat kekangan dahsyat dari Kerajaan Persekutuan.


Pakatan Rakyat Selangor juga telah mereformasikan suruhanjaya bebas supaya adil dan tidak dikawal oleh parti-parti atau pemimpin politik tertentu.  Kita menawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka pejabat cawangan di Pejabat Menteri Besar dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).  Malah, SPRM dan KSSB telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menghalang jenayah rasuah.



Program yang dinyatakan ini tidak termasuk program kebajikan yang kita laksanakan seperti Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, Tabung Warisan Anak Selangor, Ujian Kesihatan Untuk Wanita, Tuisyen Rakyat, dana kesihatan, bantuan untuk sekolah agama rakyat, sekolah Cina serta Tamil dan banyak lagi.



Kesemua program yang kita laksanakan ini tidak pula menyebabkan Selangor jatuh bankrap.  Malah, Selangor mencatatkan lebihan pendapatan sepanjang 2010 dan berjaya membentangkan belanjawan berimbang untuk 2011.


Ini jauh lebih baik berbanding sesetengah negeri di bawah BN yang membentangkan belanjawan defisit.  Malah Malaysia sendiri membentangkan bajet defisit sejak 10 tahun yang lalu.  Manifesto yang dibuat Pakatan Rakyat tidak akan menjadikan Malaysia sebuah negeri bankrap jika diurus dengan baik, jujur, telus dan bertanggungjawab seperti diamalkan di Selangor.


Program kebajikan ini kita gunakan 100% hasil negeri tanpa mengharapkan satu sen pun bantuan dari Kerajaan Pusat.  Menerusi pentadbiran yang amanah, jujur dan iklas, kewangan Selangor masih kukuh dan lebih baik berbanding negeri-negeri bawah BN.



Walaupun tanpa slogan perpaduan yang diciplak daripada Kerajaan Zionis dengan bayaran RN78 juta, Kerajaan Selangor telah melaksanakan program tersebut yang telah memanfaatkan semua bangsa.  Malah, orang UMNO juga menerima manfaat daripada program berkenaan.


Muhyiddin boleh mengulangi komitmennya terhadap "Melayu dulu" serta mengulangi retorik mahu membantu rakyat di bawah lembayung slogan 1Malaysia tetapi Pakatan Rakyat akan terus melakukan apa yang diperjuangkan sejak mula lagi iaitu  melakukan reformasi dengan telus dan kebertanggungjawaban.


*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar atas) selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.




loveperak


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...