Jumaat, Disember 10, 2010

DEDAH AURAT: TANDA-TANDA HARI KIAMAT

Ramai Wanita Mendedahkan Auratnya


Dalam proses dunia menuju kepada kehancuran, akan timbul kebanyakan wanita mendedahkan aurat mereka di khalayak ramai. Ia adalah salah satu daripada tanda-tanda dekatnya hari kiamat yang jelas sekali kelihatan. Hal tersebut jelas sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam:

"Pada umatku yang akan datang nanti, ada orang-orang lelaki yang menunggang pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun ke pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka berpakaian tetapi masih bertelanjang, di mana rambut kepala mereka seperti bonggol unta yang tinggi. Maka laknatlah mereka kerana mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat. Jika sesudah kamu nanti masih ada umat-umat lain tentunya wanita-wanita kamu akan melayani wanita-wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita-wanita bangsa-bangsa lain sebelum kamu."
(HR Ahmad)

Dimaksudkan berpakaian tetapi bertelanjang ialah mereka memakai pakaian yang berbagai bentuk fesyen tetapi tidak berfungsi langsung untuk menutup aurat. Pakaian mereka tipis dan ketat sehingga menampakkan bentuk-bentuk anggota bandan seperti punggung, lengan, rambut, leher, dada, peha dan sebagainya. Keadaan wanita yang dimaksudkan ialah memperlihatkan rambut, bentuk tubuh, wajah, perhiasan-perhiasan dan gaya. Sebagaimana dinyatakan di dalam hadits ini:

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Di antara tanda-tanda telah hampirnya hari kiamat ialah akan timbulnya pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti bertelanjang."

Dunia hari ini telah memaparkan kehidupan wanita-wanita bertabbaruj dan mendedahkan aurat. Mereka sering ditonjolkan melalui media massa dan dipermegahkan sebagai wanita yang berjaya di dalam kehidupan moden. Mereka muncul sebagai pengiklan fesyen pakaian dan perhiasan-perhiasan, model barangan mewah, artis, ratu cantik dan sebagainya.

Selain dari itu, tidak kurang juga wanita-wanita memakai rambut palsu, memakai selaput mata palsu, mencacah rambut, memakai dada plastik, mencukur alis mata dan sebagainya. Sesetengahnya melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan sifat-sifat kewanitaan.

Sesungguhnya kelakuan wanita-wanita yang dinyatakan di dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam tadi adalah menyimpang dari syari'at dan peradaban. Ia juga merupakan jalan yang boleh merosakkan kehidupan orang-orang lelaki dari ajaran Islam. Timbulnya wanita-wanita bertabbaruj itu menyebabkan golongan lelaki rosak akhlak dan moral kerana tidak dapat mengawal kemahuan nafsu mereka. Inilah bencana yang paling besar berlaku di akhir zaman.

mohamadazhan

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

2 ulasan:

Sendiri mau ingat...