Khamis, Disember 16, 2010

‘Sapu-Sapu Ringgit, Tersapu Rumah Papan’


Oleh: Shirzad Lifeboat
Ada yang mengatakan cara dan tika bekas MB Selangor Dato’ Sri Mohd Khir Toyo di berkas oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah menyamai cara dan tika bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dikenakan tindakan serupa.

Terdapat pendapat mengatakan satu ketika dulu kedua-duanya adalah amat berguna untuk UMNO negeri masing-masing. Tetapi apabila kedua-duanya menjadi semacam lialibiti kepada UMNO dan BN maka mereka disingkirkan ibarat orang melontarkan sahaja sampah ke dalam parit.

Di segi penonjolan Kasitah tidaklah sehebat Mohd Khir. Dalam lingkaran politik Kasitah lebih dikenali di kalangan rakyat Sabah sedangkan bekas MB Selangor itu dikenali hampir di seluruh Malaysia. Ketika berkuasa Mohd Khir sering mendapat liputan media kerana kenyataan keras beliau yang menggambarkan seolah-olah betapa berpengetahuannya beliau dalam selok-belok pentadbiran negeri dan seolah-olah beliau berpengalaman luas dalam memimpin sekian banyak orang dalam sesuatu bentuk pentadbiran mahupun politik.

Begitupun bagi mereka yang bukan pengikut dan peminat Mohd Khir, Adun Sungai Panjang yang bertanding dan menang untuk julung-julung kalinya pada pilihanraya umum diadakan pada 1999 sebenarnya adalah Mr. Nobody dalam UMNO Selangor sebagaimana juga Tan Sri Mohd Haji Muhd Taib. Dalam lain perkataan beliau bukanlah di antara nama besar, malah dalam senarai nama kedua besar dalam hirarki UMNO Selangor.

Kononnya, menurut apa yang dapat difahami dari kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah Presiden UMNO, pemilihan Mohd Khir (seperti pemilihan Mohd Taib, adalah bertujuan meredakan politicking dalaman UMNO Selangor. Namun sementara para pemimpin UMNO yang begitu takut kepada Dr. Mahathir terangguk-angguk menyatakan persetujuan dan malah ada yang memberikan puji-pujian, ramai (termasuk dari kalangan orang UMNO sendiri) yang memberikan reaksi “kah kah kah!” terhadap perlantikan tersebut.

Selangor bukanlah seperti Perlis yang boleh ditabdirkan oleh mana-mana Mat atau Dol dalam UMNO. Selangor merupakan negeri paling kaya di Malaysia dengan per kapita KDNK yang menyamai beberapa negara Eropah Barat dan juga Hong Kong. Indeks Pembangunan Manusia negeri tersebut juga mencatatkan angka menyerupai Jerman, UK dan Korea Selatan. Dan ditambah dengan kilang antarabangsa FDI terletak di merata pelusuk negeri itu, maka sudah tentu ia memerlukan seseorang yang cukup berpengalaman untuk mentadbir Selangor – seperti misalnya bekas CEO sebuah konglomerat perladangan antarabangsa dan bukannya seorang doktor gigi atau guru sekolah kampung yang gelap tentang selok pentadbiran dan apatah lagi tentang pengurusan ekonomi.

Tetapi di sebalik “kah kah kah” itu, mereka mengetahui betapa meletakkan orang yang paling tidak berkelayakan bagi mengetuai negeri sepenting itu adalah sebenarnya menjadikan pemimpin berkenaan ibarat boneka kerana dalam keadaan demikian lebih mudah bagi pusat menentukan apa sahaja yang dimahukan terhadap Selangor. Seseorang perlu bertanya ‘sejak bilakah Dr. Mahathir meletakkan orang bijak dalam senarai kabinet dan MB serta KM beliau?”

Dr. Mahathir melihat Selangor adalah pusat kebanyakan aktiviti terpenting ekonomi Malaysia justeru perlu ditabdirkan oleh setidak-tidaknya seseorang yang berkemampuan. Tetapi disebabkan perebutan kuasa cukup hebat dengan masing-masing melobi mahu menjadi MB dan Ahli Exco (atas sebab ketara, sebagaimana yang berlaku ke atas Mohd Khir), maka pendekatan pemilihan pucuk pimpinan politik perlu dilakukan dengan cara lain.

Masalah kepimpinan di Selangor boleh dikatakan bermula apabila Allahyarham Dato’ Harun Idris dipenjarakan di atas kesalahan rasuah. Dato’ Hormat Rafei yang menggantikan Harun selaku MB dan Ketua Badan Perhubungan UMNO Selangor nyata tidak dapat menangani krisis dalam parti. Begitu juga pengganti beliau Dato’ Ahmad Razali Ali.

Dr. Mahathir ketika itu pernah diberikan kata dua oleh sekumpulan pemimpin tertinggi UMNO Selangor agar beliau tidak mengekalkan kedudukan Ahmad Razali. Akur kepada tekanan tersebut, Dr. Mahathir bersetuju. Khabarnya begitu kuat desas-desus mengatakan Dato’ Abu Hassan Omar akan dilantik sebagai MB baru. Malah, menurut ceritanya Abu Hassan sudah begitu bersedia dan sudahpun menyediakan senarai lengkap anggota Exconya.

Malangnya, selepas keputusan pilihanraya 1986 itu diumumkan, Dr. Mahathir memilih Mohd Hj. Muhd Taib, calon DUN Batang Kali yang memenangi kerusi tersebut untuk penggal kedua.

Untuk lebih daripada 10 tahun, Mohd Hj. Muhd Taib berkepak tinggi di atas langit politik UMNO – dari Ketua Perhubungan UMNO sehingga menjadi Naib Presiden. Namun kes membawa masuk beberapa juta ringgit ke Australia tanpa pengisytiharan kepada pihak berkuasa Australia memaksa beliau meletakkan jawatan.

Tempat beliau digantikan oleh Abu Hassan. Tetapi masalah peribadi memendekkan cita-citanya untuk menduduki kerusi tersebut selama yang mungkin.

Tidak mustahil disebabkan kemelut demi kemelut inilah yang memaksa Dr. Mahathir sekali lagi memilih seorang yang tidak berpengalaman dan berkelayakan menjadi MB.

Dalam pada pemimpin UMNO tertentu merungut dan tidak berpuas hati dengan perlantikan Mohd Khir dan ahli UMNO umumnya merasakan Dr. Mahathir tidak serik-serik dengan apa yang berlaku ke atas perlantikan Mohd Taib dan ramai rakyat yang tertawa sendirian kerana urusan melantik MB Selangor sudah jadi macam meletakkan mana-mana Mat dan Dol ke jawatan tersebut, Mohd Khir terus mentadbirkan Selangor menurut imaginasi melaksanakan kepimpinan menurut whims and fancies atau kehendak beliau dan bukannya sebagaimana yang sepatutnya.

Oleh itu, apabila tukang sapu bertindak lebih dari penyapu yang digunakan, maka rakyat akhirnya menolak UMNO-BN. Apabila Mohd Khir kehilangan jawatannya selaku MB, tiba pula giliran kerajaan baru menyapu bersih dan mengeluarkan segala kekotoran lalu.

Kini umum sedang menunggu jawapan: Dapatkan penyapu yang mahu dihadiahkan oleh Mohd Khir kepada para pegawai kerajaannya tatkala masih lagi menjadi MB dulu digunakan oleh beliau sendiri untuk menyapu apa yang beliau sebut sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas?

Sementara kita mendapatkan jawapannya ayuh kita nyanyi sahaja lagu, “Sapu-sapu ringgit tersapu rumah papan, datang buaya kodong, kodong kaki tangan.” Ini kerana penyapu, ringgit, rumah dan buaya semuanya dilihat umum sebagai ada kaitan dengan pentadbiran Mohd Khir selaku MB Selangor.

DD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...